
Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour berkata perbelanjaan isi rumah terus disokong keadaan pasaran buruh yang memberangsangkan dan kadar pengangguran yang rendah, selain langkah dasar bersasar.
Beliau juga berkata ekonomi turut disokong pertumbuhan eksport berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik, serta perkhidmatan pelancongan dan ICT.
“Kami mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4% hingga 5% pada 2026 walaupun berdepan gangguan geopolitik dan perdagangan yang berterusan,” katanya sambil menambah prospek itu masih tertakluk kepada kenaikan dan penurunan risiko.
Rasheed mengumumkan perkara itu di Bank Negara Malaysia. Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin, turut menghadiri acara tersebut.
Rasheed berkata Malaysia pernah mengharungi cabaran besar sebelum ini dan kekal berada dalam kedudukan baik untuk menangani ketidaktentuan semasa.
Beliau menambah, dari sudut penawaran, pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan menjadi lebih perlahan, mencerminkan penyederhanaan dalam jualan kenderaan bermotor selepas pembelian dipercepatkan pada suku keempat sebelum tamatnya pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik.
“Dalam masa yang sama, prestasi sektor pembuatan terus disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), sejajar dengan permintaan berterusan terhadap komponen berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
“Pertumbuhan dalam sektor pertanian pula lebih rendah berikutan penormalan pengeluaran minyak sawit selepas pengeluaran yang tinggi sebelum ini serta aktiviti penanaman semula yang sedang berjalan,” katanya.
Inflasi keseluruhan
Rasheed berkata inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.6% bagi suku pertama 2026, berbanding 1.3% pada suku sebelumnya. Inflasi teras pula menurun kepada 2.1% berbanding 2.3% pada suku keempat 2025.
“Peningkatan inflasi keseluruhan ini mencerminkan sedikit pemindahan kos awal daripada tekanan kos global yang lebih tinggi, sebahagiannya disebabkan konflik di Asia Barat,” katanya, sambil menambah bahawa caj elektrik dan harga bahan api, terutamanya RON97 dan diesel, meningkat pada suku tersebut.
Kenaikan ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih rendah, khususnya disebabkan inflasi makanan di luar rumah yang lebih perlahan pada kadar 2.4%, turun 0.4% daripada suku sebelumnya, serta inflasi sewa pada 1.6% berbanding 1.9% pada suku keempat 2025.
Rasheed turut berkata inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata 1.5%–2.5% pada 2026. Susulan konflik di Asia Barat, inflasi dijangka meningkat sedikit akibat harga tenaga global dan komoditi utama yang lebih tinggi, sejajar dengan jangkaan.
Pertumbuhan kredit
Pertumbuhan kredit kepada sektor bukan kewangan swasta meningkat kepada 5.6% pada suku pertama 2026 daripada 5.3% pada suku keempat 2025, didorong oleh pertumbuhan lebih tinggi dalam pinjaman tertunggak (5.6%), khususnya dalam kalangan perniagaan.
Pinjaman perniagaan berkembang 5.8% berbanding 5.9% pada suku keempat 2025, terutamanya disebabkan pertumbuhan pinjaman lebih tinggi dalam kalangan bukan PKS, manakala pertumbuhan pinjaman PKS secara amnya kekal pada 6%, meningkat 0.1% daripada suku sebelumnya.
Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil pada 5.4%, menurun sedikit daripada 5.5% pada suku lepas, dengan pertumbuhan pinjaman yang stabil merentasi kebanyakan tujuan.