Insiden kepala air berulang lagi, 16 orang terperangkap

Insiden kepala air berulang lagi, 16 orang terperangkap

Mereka dipercayai terperangkap di atas bukit di Batu Sungai Changlun, Bukit Kayu Hitam selepas kejadian sama melanda Bukit Wang.

Pihak bomba menerima panggilan memaklumkan 16 mangsa terperangkap akibat banjir di atas bukit di Batu Sungai Changlun, Bukit Kayu Hitam.
PETALING JAYA:
Seramai 16 orang dipercayai terperangkap di atas bukit di Batu Sungai Changlun, Bukit Kayu Hitam selepas kejadian kepala air melanda kawasan peranginan sekitar Bukit Wang, malam tadi.

Banjir kilat turut dilaporkan berlaku apabila petempatan terbabit dinaiki air lebih 1.5 meter susulan hujan lebat berterusan sejak 6 petang semalam.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra giat menjalankan operasi memindahkan mangsa yang terperangkap akibat banjir.

Katanya, mereka dikejarkan ke lokasi bersama sebuah jentera bagi membantu penduduk selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.08 petang.

“Kita menerima maklumat bahawa ada mangsa terperangkap di kawasan air terjun di Bukit Wang dan anggota dari Unit Must Team serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sudah berada di lokasi untuk melakukan operasi menyelamat.

“Kita turut menerima panggilan 16 mangsa terperangkap akibat banjir di atas bukit di Batu Sungai Changlun, Bukit Kayu Hitam,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mohamadul Ehsan berkata, tiga rumah penduduk ditenggelami air setinggi hampir 1.52 meter.

“Kita berjaya menyelamatkan lapan mangsa dari tiga rumah untuk dipindahkan ke lokasi selamat.

“Kita juga mengarahkan anggota melakukan penilaian lengkap risiko di tempat kejadian serta memastikan tiada lagi mangsa yang tertinggal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.