Bantu anak yatim akibat pandemik hingga pengajian tinggi, kata Teo

Bantu anak yatim akibat pandemik hingga pengajian tinggi, kata Teo

Ahli Parlimen Kulai berkata sokongan dan bantuan pendidikan terhadap golongan itu perlu sehingga mereka memperoleh ijazah pertama.

Teo Nie Ching berkata hak anak yatim untuk mendapat hak pengajian tinggi sepatutnya tidak terhenti sehingga mereka berusia 18 tahun. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyeru supaya bantuan anak yatim piatu akibat pandemik Covid-19 khasnya dalam aspek pendidikan dalam Yayasan Keluarga Malaysia tidak terhenti sehingga mereka berusia 18 tahun.

Teo Nie Ching (PH-Kulai) berkata, seharusnya kerajaan melanjutkan sokongan dan bantuan pendidikan terhadap golongan terbabit sehingga mereka memperoleh ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Hak untuk menuntut di institusi pengajian tinggi sepatutnya tidak terhenti sehingga mereka berusia 18 tahun.

“Saya harap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob boleh pertimbangkan rayuan saya supaya mereka tak hilang peluang lanjut pengajian tinggi selepas kehilangan ibu bapa akibat Covid-19,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Pada 23 Okt lalu, Ismail melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia untuk membantu kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat pandemik Covid-19, khasnya dalam aspek pendidikan sehingga mereka berusia 18 tahun.

Ismail berkata, setakat ini seramai 5,173 kanak-kanak menjadi yatim dan yatim piatu akibat Covid-19.

Ismail turut menceritakan kisah 13 anak kecil daripada dua keluarga yang kehilangan tempat bergantung selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Dalam pada itu, Teo berharap kerajaan tidak menjadikan alasan tiada peruntukan untuk menolak cadangannya itu kerana beliau berpandangan kerajaan bijak berbelanja.

“Pada saya kerajaan ini bijak berbelanja. Tukar kereta rasmi menteri boleh jimat RM2.80 setiap kereta sebulan.

“Saya percaya kerajaan akan mencari cara lain untuk tanggung kos pengajian tinggi bagi anak-anak yatim piatu akibat Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.