Jadi ‘tuan rumah’ PATI, sindiket Ibu Ani tumpas

Jadi ‘tuan rumah’ PATI, sindiket Ibu Ani tumpas

Sindiket itu menguruskan tempat penginapan, makan minum serta kenderaan, bagi pergerakan pendatang asing tanpa izin keluar masuk Malaysia melalui jalan tidak sah.

Sindiket ‘Ibu Ani’ tumpas susulan maklumat daripada 25 pendatang asing tanpa izin serta enam ejen laut dan darat yang ditahan bersama bot penyeludup Jumaat lepas.
PELABUHAN KLANG:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin dikenali sebagai ‘Ibu Ani’, yang dipercayai beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Maritim Selangor Mohammad Rosli Kassim berkata, sindiket Ibu Ani bertanggungjawab mengurus tempat penginapan, makan dan minum serta kenderaan bagi pergerakan pendatang asing tanpa izin keluar dan masuk Malaysia melalui jalan tidak sah.

“Sindiket tersebut tumpas susulan maklumat yang diperoleh daripada 25 orang pendatang asing tanpa izin serta enam orang ejen laut dan darat yang ditahan di bersama bot penyeludup oleh APMM bersama agensi penguatkuasa lain dalam Op Benteng di perairan Pulau Angsa dan pesisir Pantai Sungai Janggut, Jumaat lepas.

“Rentetan daripada penahanan tersebut, beberapa serbuan dibuat di beberapa lokasi dan premis di Flat Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan seorang wanita yang dikenali Ibu Ani, 56, berasal dari Indonesia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohammad Rosli berkata, turut dirampas semasa serbuan adalah sebuah bot, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dua van dan beberapa telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM450,000.

“Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga Akta Imigresen 1969/63,” katanya.

Mohammad Rosli berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dengan memberi tumpuan terhadap tekong atau ejen-ejen terlibat. Dipercayai dalang sebenar sindiket, iaitu seorang warga asing masih belum ditangkap.

Beliau berkata, sindiket pendatang asing tanpa izin kini bersaing sesama sendiri dan menawarkan “pakej lengkap” bernilai antara RM1,500 hingga RM2,000 sementara testimoni keberkesanan aktiviti mereka turut diedarkan di WhatsApp.

Mohammad Rosli turut mengingatkan pemilik kenderaan sewa tempatan agar berwaspada kepada siapa mereka sewakan dan jika didapati pendatang asing tanpa izin bersubahat, maka kenderaan tersebut akan disita dan pemiliknya dikenakan tindakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.