Sabah paling ramai penganggur

Sabah paling ramai penganggur

Terdapat seramai 169,800 orang penganggur di Sabah, meliputi 29% daripada 588,700 jumlah penganggur di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, isu buruh di Sabah berbeza berbanding negeri lain kerana golongan pekerja yang bukan bawah Ordinan Buruh dianggarkan melebihi 800,000 orang. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sabah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi, iaitu seramai 169,800 orang atau meliputi 29% daripada 588,700 jumlah penganggur di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, kadar pengangguran di Sabah mencecah 7.7% pada suku pertama tahun ini, lebih dua kali ganda berbanding 3.5% pada peringkat nasional.

“Namun kadar peratusan pengangguran di Sabah menunjukkan penurunan berbanding 9.1% pada suku pertama tahun lepas, berikutan pemulihan ekonomi selepas wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah sempena program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu di sini hari ini.

Sivakumar berkata, isu buruh di Sabah berbeza berbanding negeri lain kerana golongan pekerja yang bukan bawah Ordinan Buruh dianggarkan melebihi 800,000 orang, seperti pemegang Kad IMM13, Sijil Banci, Kad Burung-Burung, Bajau Laut (Pala’u) dan Pendatang Asing Tanpa Izin.

“… manakala lebih 90% majikan berstatus pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) telah memberi impak kepada pematuhan dasar dan perundangan berkaitan perburuhan,” katanya.

Justeru, beliau berkata pada 14 Jun lepas, Jemaah Menteri Sabah meluluskan tanpa bahas penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah (MPBS) bagi membincangkan isu berkaitan perburuhan di negeri ini.

Sivakumar berkata, menerusi MPBS, sebarang isu berbangkit harus dilihat dengan teliti, dan semua pihak dalam majlis itu perlu bekerjasama memberikan idea secara kolektif, demi memastikan Sabah menjadi antara negeri yang boleh memberikan upah tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.