Cabar pembubaran DUN Melaka: Mahkamah tetap keputusan Rabu ini

Cabar pembubaran DUN Melaka: Mahkamah tetap keputusan Rabu ini

Hakim Noorin Badaruddin akan memutuskan sama ada bekas ADUN Bukit Katil Adly Zahari boleh mendapat izin membuat semakan kehakiman mencabar pembubaran DUN.

Yang Dipertua Melaka membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 4 Okt selepas kejatuhan kerajaan negeri. (Gambar Melaka)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan Rabu ini bagi memutuskan sama ada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Adly Zahari boleh mendapat izin untuk membuat semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atas nasihat bekas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Hakim Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Adly, Razlan Hadri Zulkifli, dan Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathu yang hadir bagi pihak Peguam Negara.

Dalam hujahnya hari ini, Narkunavathy berkata cabaran dikemukakan Adly tidak boleh diadili dan beliau tidak mempunyai kes yang membolehkan aduannya didengar.

Katanya, permohonan untuk menangguhkan pilihan raya negeri (PRN) sehingga isu perundangan cabaran dikemukakannya ini selesai, tiada merit.

Razlan bagaimanapun berhujah, Sulaiman telah kehilangan sokongan majoriti 28 ADUN untuk menasihatkan pemimpin negeri itu membubarkan DUN pada 4 Okt seterusnya mengadakan PRN.

Pada 22 Okt, Adly yang pernah menjadi Ketua Menteri Melaka ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mendakwa Sulaiman cuma mempunyai sokongan 11 wakil selepas empat individu menarik sokongan. PH pula mempunyai sokongan 13 wakil daripada 28 kerusi DUN.

Adly juga mahu memohon membatalkan segera pengisytiharan pembubaran DUN 4 Okt itu, kerana makluman pewartaan pada keesokannya terbatal dan tidak sah atas alasan dibuat tanpa pengetahuan Yang Dipertua.

Beliau mahu memohon Mahkamah Tinggi membatalkan writ dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Okt, serta PRN pada 20 Nov, ditangguhkan sehingga perintah mahkamah diperoleh.

Adly menamakan Sulaiman, bekas Speaker DUN Ab Rauf Yusoh, SPR dan Yang Dipertua Melaka Mohd Ali Rustam sebagai responden.

Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tumbang selepas tiga exco meletak jawatan dan seorang ADUN Umno menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Sulaiman dikatakan telah menasihatkan Yang Dipertua membubarkan sidang DUN.

Proses penamaan calon untuk 28 kerusi diadakan hari ini dengan perlawanan tiga penjuru di hampir semua kawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.