
Kisah wanita berusia 57 tahun itu mendapat perhatian minggu lalu selepas dia menangguh sambutan perayaan Deepavali untuk membantu memindahkan seorang wanita yang lumpuh separuh badan daripada bencana banjir di rumahnya di Alor Setar.
Devika dan suaminya menangguhkan perjalanan ke Kuala Lumpur selepas mendapati Supiah Musa, 76, terperangkap di rumahnya akibat banjir. Devika pergi ke rumah mangsa untuk membantu Angkatan Pertahanan Awam memindahkannya.
Pengorbanan Devika itu tidak mengejutkan mereka yang sudah mengenali anak kelahiran Alor Setar yang ceria itu.
“Sebelum berkahwin pun, saya sentiasa membantu orang tua, tidak kira mereka Melayu, Cina atau India. Saya akan pergi ke rumah mereka untuk membantu mereka makan, mandi dan membersihkan luka mereka,” katanya kepada FMT.
“Saya tidak tahu mengapa, saya hanya seronok membantu orang tua. Saya mungkin mendapatnya (sifat suka membantu) pada usia muda daripada ibu saya, yang juga menjaga orang tua dan mengajar saya bagaimana untuk melakukannya.”
Devika, yang tinggal kira-kira 1km dari rumah Supiah berkata, dia telah menjaga ibu tunggal warga emas itu sejak empat tahun lalu kerana Supiah terpaksa menyara diri sejak suaminya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Devika berkata, Supiah kini tinggal bersamanya, tetapi mungkin akan kembali ke rumah dalam beberapa hari lagi selepas air banjir surut sepenuhnya dan rumahnya boleh dibersihkan.
Sementara itu, Devika berkata, sambutan Deepavali tahun ini tidak semeriah sebelum ini kerana tidak dapat menghabiskan musim perayaan bersama anak-anak, yang kedua-duanya berusia 30-an dan tinggal di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Katanya, dia tahu dia tidak boleh meninggalkan Supiah untuk mengurus dirinya sendiri.
Devika yang bekerja sebagai pembantu rumah berkata, dia telah mengunjungi Supiah tiga kali sehari untuk memberi makan dan pakaian, membawanya ke tandas dan menukar lampin.
“Kadang-kadang dia memberi saya sedikit wang, tetapi saya tidak pernah meminta apa-apa sebagai balasan apabila saya membantunya – atau orang tua lain yang pernah saya jaga. Saya ikhlas,” kata Devika.
“Mak Cik Supiah dah macam ibu saya.”