
Semalam, Anwar mengumumkan bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron akan bertanding sebagai calon PKR, dan Nor Azman Hassan sebagai calon Amanah, dalam pilihan raya itu.
Idris dan Nor Azman adalah dua daripada empat ADUN Melaka yang mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri Melaka selepas menarik sokongan terhadap Ketua Menterinya Sulaiman Md Ali pada 4 Okt lalu.
Ahli Otai Reformis Mohd Fadzlie Mohd Hassa berkata Idris adalah seorang veteran politik, “tetapi bila beliau masuk kepada Pakatan Harapan menggunakan PKR… kami agak tidak berapa seronok sangatlah”.
“Secara peribadi Otai Reformis terkilan juga dan menjadi tanda tanya kami pun ada dalam ‘group’ WhatsApp.
“Tetapi disebabkan ini adalah keputusan bersama kolaborasi dengan pengerusi PH, jadi kami menyerahkan apa-apa keputusan merekalah yang akan bertanggungjawab, misal kata ada berlaku apa-apa,” katanya, merujuk kepada kemungkinan kedua-duanya bertukar pakatan selepas pilihan raya.
Seorang lagi ahli Otai Reformis, Mohd Rashidi Mohamed Amin, sebaliknya menyifatkan keputusan meletakkan kedua-dua mereka adalah sebagai “strategi” untuk memecahkan undi dalam kalangan pelbagai kem penyokong Umno.
Katanya, Idris dan Nor Azman dibawa masuk adalah “untuk menawan semula penyokong kubu kuat di kerusi yang akan mereka tandingi”. Idris akan bertanding di kerusi Asahan manakala Nor Azman akan mempertahankan kerusi Pantai Kundornya.
Apa yang penting, katanya, kedua-duanya telah memberikan PH “banyak rahsia” mengenai kelemahan kerajaan terdahulu, termasuk membocorkan berapa jumlah sebenar projek dan rasuah yang dilihat memudaratkan rakyat negeri Melaka.
Mohd Fadzlie dan Rashidi adalah antara yang menghadiri pelancaran dua buku oleh ahli jawatankuasa pusat DAP Ronnie Liu di dewan jamuan di sini hari ini, ‘People Before Self, dan A New Dawn Shattered: Arise A New Phoenix’.
Pemimpin DAP tidak kelihatan pada acara PH semalam bagi mengumumkan calon PRN Melaka, namun Liu berkata beliau tidak mahu terlalu meneliti isu itu.
“Saya anggapnya salah komunikasi, salah faham atau, mungkin, perselisihan faham,” kata ADUN Sungai Pelek itu.
“Ia boleh diselesaikan dan harus diatasi.”