MUDA patut cuba nasib di PRN Melaka, kata penganalisis

MUDA patut cuba nasib di PRN Melaka, kata penganalisis

Ini cara terbaik untuk menguji daya tarikan mereka dengan pengundi dan mempersiapkan diri bagi PRU, kata penganalisis.

MUDA, yang menggelarkan diri sebagai parti untuk belia, sepatutnya menguji daya tarikan mereka dengan pengundi di PRN Melaka, kata penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keputusan MUDA untuk tidak bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka menandakan kehilangan peluang bagi parti politik baharu itu untuk menguji daya tarikan mereka dengan pengundi dan memecahkan undi di beberapa persaingan.

Parti itu, yang masih belum didaftarkan, boleh meletakkan calon Bebas, malah mungkin dapat menewaskan beberapa pesaing, kata seorang penganalisis.

Pengasas MUDA dan presiden parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh mengambil risiko meletakkan calon hanya untuk menguji lapangan, kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid, seorang profesor sains politik di Universiti Sains Malaysia.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

“MUDA kemudian dapat melihat berapa banyak undi yang boleh diperolehnya. Jika calon hilang deposit, itu satu pengorbanan yang perlu mereka tanggung, lebih-lebih lagi jika mereka adalah muka baharu,” katanya.

“MUDA mungkin dapat menewaskan beberapa calon. Saya tidak fikir Bersatu dan PAS mempunyai sokongan akar umbi di Melaka,” kata Ahmad Fauzi.

Semalam, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), dan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan calon-calon mereka bagi PRN Melaka.

Bagaimanapun Syed Saddiq berkata, MUDA tidak akan meletakkan calon disebabkan keputusan PH mencalonkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno.

MUDA sebelum ini berkata, PRN Melaka adalah satu jalan bagi mereka mengubah landskap politik dengan muka-muka baharu yang tertumpu kepada dasar, perkhidmatan kepada rakyat, serta politik sederhana dan berbilang kaum.

Ahmad Fauzi berkata, penyertaan MUDA mungkin menarik pengundi muda dan boleh memainkan peranan memecah undi dalam pertembungan empat penjuru.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, MUDA sepatutnya bertanding pada PRN Melaka dengan meletakkan calon Bebas, bukan sahaja untuk menguji sejauh mana mereka akan diterima tetapi juga untuk “belajar tentang pilihan raya”.

Jeniri Amir.

Katanya, ini amat penting menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana ia akan memberi masa kepada MUDA untuk mengenal pasti kelemahan mereka dan berusaha memperbaikinya.

Beliau juga berkata, hakikat bahawa PH memilih untuk meletakkan bekas ahli Umno Idris Haron (Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) bukan alasan yang cukup kukuh bagi MUDA untuk tidak menyertai pilihan raya.

“Kenapa itu menjadi satu justifikasi? Itu hanya alasan yang lemah untuk menunjukkan mereka tidak yakin berdepan dengan rakyat. MUDA sebagai entiti bebas tiada kena mengena dengan perikatan (PH) itu.

“Saya fikir meletakkan calon Bebas adalah cara terbaik untuk MUDA menguji sama ada mereka boleh diterima rakyat atau tidak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.