
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, antara faktor pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) ini adalah kos sewaan bulanan Vellfire 2.5 lebih rendah dari kos sewaan bulanan Perdana 2.4 Premium.
Kos sewaan sebulan Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Vellfire 2.5 pula RM4,851.61.
“Untuk makluman, usia KRJ bagi Jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia 6 tahun sedangkan penggantian KRJ bagi Jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap 4 tahun sekali,” katanya.
Kenyataan turut menyebut, kerajaan menggunakan Vellfire 2.5 sebagai KRJ menteri-menteri persekutuan bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium yang ditamatkan pengeluarannya pada 2014.
Kementerian menjelaskan perbincangan mengenai pertukaran KRJ di media sosial.
Terdahulu, seorang pemimpin PKR menyifatkan keputusan kerajaan menggantikan kereta sedan empat tempat duduk kepada MPV mewah tujuh tempat duduk membazirkan duit rakyat.
“Menteri Perikatan Nasional (Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz) bukan sahaja membazirkan duit rakyat melalui pembelian kereta mewah, tetapi mendedahkan hampir RM1 juta dibelanjakan untuk mengubah suai dan membeli perabot baharu pejabat Perdana Menteri,” kata Ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, P Prabakaran dalam kenyataan.
“Tambahan pula pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana bernilai RM30 juta juga membazir.”