Muda tidak bertanding di Melaka, kritik PH terima ‘katak’

Muda tidak bertanding di Melaka, kritik PH terima ‘katak’

Muda memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PH dalam PRN 20 Nov ini.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda akan memberi tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang.
PETALING JAYA:
Parti Muda tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Mengulangi pendirian parti bahawa itu menolak “katak politik” yang menukar parti demi kepentingan sendiri, Presiden Penaja Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu kecewa rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam PRN tidak mencapai kata sepakat disebabkan isu itu.

“Muda telah berunding dengan PH sejak minggu lalu dan menunjukkan isyarat positif yang kita boleh menyatukan barisan pembangkang,” katanya pada sidang media di luar Parlimen.

“Tetapi selepas beberapa insiden, termasuk desakan PH untuk mengambil katak-katak ini yang menyebabkan kerajaan negeri tumbang dan pilihan raya diadakan di tengah-tengah pandemik, kami mengambil pendirian untuk tidak bekerjasama.

“Apabila kita melihat PH lebih tertumpu kepada mengangkat katak-katak ini daripada berunding dengan baik dengan kita sebagai rakannya, saya fikir mesej itu jelas.”

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menambah bahawa ahli Muda – yang belum didaftarkan secara rasmi – juga tidak akan bertanding sebagai calon bebas, dengan menyatakan bahawa tumpuan parti itu kini pada pilihan raya umum akan datang.

Pada sidang media berasingan hari ini, Pakatan Harapan (PH) mengesahkan ia akan meletakkan dua daripada empat ADUN yang menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka pada awal bulan lalu.

Calon-calon tersebut ialah bekas duo Umno, Idris Haron (Sungai Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor). Idris juga adalah bekas Ketua Menteri Melaka.

Pada 27 Okt, Syed Saddiq mengumumkan hasrat Muda untuk bertanding dalam pilihan raya negeri Melaka dan berkata parti itu sedang berunding dengan PH mengenai pengagihan kerusi.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Anwar Ibrahim tidak merujuk kepada Muda apabila mengumumkan pengagihan kerusi itu dua hari kemudian. PKR akan bertanding 11 kerusi, Amanah sembilan dan DAP lapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.