
Firdausi Suffian daripada UiTM Sabah berkata, golongan kaya mendapat terlalu banyak manfaat daripada pendekatan semasa yang disebutnya sebagai subsidi “menyeluruh”.
Beliau memberi contoh subsidi untuk petrol, dengan berkata golongan kaya, dengan kereta mewah mereka, akan berbelanja lebih banyak di pam-pam minyak berbanding golongan miskin, dengan motosikal dan kereta kecil mereka.
“Akhirnya, siapa yang dapat subsidi lebih? Golongan kaya. Sebab itu kita perlu subsidi yang lebih disasarkan,” katanya.
Menurut Firdausi, kerajaan berbelanja berbilion-bilion setahun memberi subsidi dan pendekatan yang lebih bersasar akan dapat membantu mengoptimumkan kewangannya.
“Pendekatan bersasar bermaksud kita perlu data jelas mengenai golongan yang mahu kita bantu, tetapi masalahnya, maklumat yang kita ada tidak lengkap,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan mudah adalah mengeluarkan kad subsidi kepada golongan layak, yang mesti ditunjukkan di kaunter pembayaran.
Beliau menggesa kerajaan membuat dasar untuk menjamin mobiliti sosial bagi penerima subsidi “jika kita tidak mahu rakyat bergantung kepada subsidi selama-lamanya”.
“Selepas satu tempoh tertentu, golongan ini sepatutnya tidak lagi layak untuk menerima subsidi,” katanya.
“Jadi, apa yang kerajaan lakukan, menyediakan pekerjaan, pendidikan dan program latihan semula adalah bagus.
“Di kemudian hari, subsidi tidak membantu. Ia bagus bagi politik, tetapi buruk bagi ekonomi.”
Bagaimanapun, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berkata, sukar melaksanakan sistem untuk mengagihkan subsidi secara bersasar apabila membabitkan barangan seperti minyak masak dan gula.
Beliau sebaliknya menggesa penjimatan sumber melalui pembatalan insentif yang diberikan kepada pelabur asing.
Melalui kajian yang dijalankannya pada 1980-an, katanya, beliau mendapati bahawa insentif ini selalunya bukan antara sebab utama syarikat akan melabur di Malaysia.
“(Sebab) nombor satu hingga tiga adalah berhubung kos buruh rendah, kecekapan pasaran, dan pentadbiran kerajaan,” katanya kepada FMT.
“Insentif cukai sebenarnya bukan keutamaan besar bagi mereka.”
Baru-baru ini, semasa Bajet 2022 dibahaskan, bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mempersoalkan kebijaksanaan langkah memberikan pengecualian eksais import dan duti jualan bagi kenderaan elektrik.
Katanya, ini hanya akan memberi manfaat kepada golongan kaya, yang akan membeli kenderaan ini walaupun tanpa pengecualian berkenaan.
Najib sebelum ini turut mempersoalkan rasional langkah melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kenderaan untuk semua, dengan berkata, “orang kaya akan dapat diskaun lebih besar apabila membeli kereta mewah”.