Saya sudah pertimbang semua bukti terhadap bekas ketua pusat timbang tara, kata bekas Peguam Negara

Saya sudah pertimbang semua bukti terhadap bekas ketua pusat timbang tara, kata bekas Peguam Negara

Tommy Thomas berkata beliau sudah menggunakan pemikirannya 'dengan jujur dan sebaik mungkin' ketika mengenakan pertuduhan pecah amanah jenayah terhadap N Sundra Rajoo.

Bekas peguam negara Tommy Thomas berusaha untuk membatalkan tuntutan mahkamah oleh bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia N Sundra Rajoo berhubung ‘pendakwaan berniat jahat’.
PETALING JAYA:
Bekas peguam negara Tommy Thomas berkata beliau telah mempertimbangkan semua bukti terhadap bekas Ketua Pusat Timbang Tara Serantau sebelum dikenakan pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) terhadapnya dua tahun lalu.

Katanya, beliau menggunakan akal fikiran “jujur dan sebaik mungkin”, dan menegaskan bahawa bekas Timbalan Pendakwa Rayanya mempunyai kes yang kuat untuk mensabitkan N Sundra Rajoo.

Walau bagaimanapun, katanya, kes CBT Sundra tidak pernah didakwa di Mahkamah Sesyen kerana beliau telah membawanya ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar pertuduhan atas alasan beliau “kebal daripada pendakwaan” kerana peranannya sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Sundra didakwa dengan tiga pertuduhan menyalahgunakan RM1.1 juta milik AIAC untuk membeli buku.

“Dalam semua keadaan bahawa saya secara peribadi memutuskan untuk mendakwa individu, saya pertimbangkan kekuatan dan kelemahan kes pendakwaan sebelum memfailkan pertuduhan.

“Keputusan saya untuk tidak mendakwa, didorong oleh beberapa perkara seperti mempertahankan diri atau ketakutan terhadap liabiliti peribadi yang akan menjadi penentu kepada tugas saya.

“Pertimbangan itu tidak pernah hadir dalam keputusan saya,” kata Thomas dalam afidavitnya untuk mengetepikan tuntutan Mahkamah Tinggi yang dibuat Sundra terhadapnya dan 12 yang lain.

Sundra memfailkan saman itu terhadap Thomas, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa pegawai undang-undang bulan lalu, atas dakwaan “pendakwaan berniat jahat”.

Mahkamah Persekutuan memutuskan Sundra menikmati kekebalan kerana kedudukannya sebagai ketua pusat timbang tara ketika itu. Tuduhan CBT telah dibatalkan.

Thomas, adalah seorang peguam sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2018, berkata beliau juga mempertimbang pembelaan Sundra, seperti tuntutan imuniti, sebelum mengenakan pertuduhan.

“Imuniti diplomatik diberikan kepada pegawai diplomatik yang berkhidmat di negara tuan rumah. Mereka hanya kebal dari bidang kuasa negara yang mereka ditugaskan.

“Pertimbangan ini tidak wujud dalam kes ini. Sundra bukan warga asing tetapi penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata Sundra tidak boleh dihantar pulang untuk menghadapi pendakwaan di luar negara dan “bertanggungjawab terhadap undang-undang Malaysia, seperti mana orang lain di sini”.

“Beliau juga mungkin berada di kelas paling atas berbanding institusi beraja di sembilan negeri,” katanya sambil menjelaskan penghakiman seperti ini boleh menggugat Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan di bawah undang-undang.

Sebelum ini, Wisma Putra telah menulis surat kepada Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO), badan induk AIAC, untuk mengetepikan kekebalan Sundra tetapi ditolak oleh setiausaha agungnya.

Beliau juga berkata, pendiriannya untuk kekal bahawa Sundra tidak menikmati kekebalan atas tindakannya, tidak perlu dipersoalkan

Thomas berkata beliau tidak tahu sama ada sesiapa meminta kebenaran daripada AALCO untuk mengetepikan kekebalan Sundra.

“Jika ia berlaku, ia dilakukan tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Kes bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.