
Pada waktu ini, ramai yang sudah menerima suntikan vaksin masing-masing. Malah, sejak program pemberian vaksin bermula, ramai rakyat Malaysia sudah bertindak mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengetahui tarikh vaksinasi.
Walau bagaimanapun, persoalan mula timbul berkenaan individu yang pernah dijangkiti Covid-19. Adakah mereka perlu mengambil suntikan vaksin atau pun tidak?
Sebenarnya, ada percanggahan pendapat mengenai perkara ini. Ada yang berpendapat bekas pesakit Covid-19 perlu mendapatkan suntikan vaksin dan ada juga yang berpendapat sebaliknya.
Belum ada bukti yang cukup untuk tidak menyokong pemberian vaksin
Menurut U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC), individu yang pernah mengalami Covid-19 masih akan mendapat faedah daripada suntikan vaksin.
Walaupun mereka mendapat imuniti secara semula jadi selepas dijangkiti Covid-19, pakar masih tidak dapat memastikan tempoh masa atau durasi sebenar imuniti ini.
Menurut kajian yang sedia ada, imuniti semula jadi daripada Covid-19 bersifat sementara dan tidak kekal lama. Namun, masih banyak kajian yang perlu dijalankan sebelum pakar benar-benar pasti tentang perkara ini.
Pengambilan dua dos vaksin Covid-19 dapat menurunkan kadar jangkitan dengan drastik. Oleh sebab itu, walaupun anda pernah dijangkiti virus ini, suntikan vaksin dapat mengurangkan risiko anda untuk mengalami jangkitan kali yang kedua.
Malah, ada juga kajian yang menunjukkan bahawa satu suntikan sudah memadai untuk mereka yang pernah dijangkiti Covid-19.
Tetapi, mengapa bekas pesakit Covid-19 perlukan vaksin?
Salah satu sebab mengapa setiap orang perlu menerima vaksin Covid-19 (termasuklah mereka yang pernah menghidap penyakit ini), kerana sistem imun setiap individu memberikan respons yang berbeza terhadap virus tersebut.
Malah, melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap pesakit yang mengalami jangkitan semula, mereka didapati mempunyai respons imun yang lemah terhadap Covid-19.
Ini bermaksud, selepas dijangkiti, badan mereka tidak dapat menghasilkan imuniti yang kuat dan berkekalan terhadap virus tersebut. Oleh sebab itu, mereka berisiko untuk dijangkiti Covid-19 sekali lagi.
Mendapatkan vaksinasi terhadap virus Covid-19 dapat membantu anda menguatkan imuniti terhadap virus ini.
Malah, di dalam satu ujian klinikal, Pfizer dan BioNTech sendiri telah menjalankan uji kaji keberkesanan vaksin mereka terhadap bekas pesakit Covid-19.
Dapatan mereka menunjukkan pemberian vaksin dapat mengurangkan risiko jangkitan semula di samping merendahkan risiko jangkitan baharu kepada mereka yang tidak pernah terdedah dengan Covid-19 sebelum ini.
Ambil suntikan vaksin walau pernah dijangkiti Covid-19
Kerajaan kini sedang bertungkus lumus melakukan vaksinasi sebanyak mungkin untuk menghentikan pandemik yang dicetuskan oleh wabak Covid-19.
Malah, ini sahajalah peluang yang mungkin kita ada untuk meletakkan titik noktah pada pandemik yang sudah lama membelenggu kita.
Menurut Dr. David Thomas dari John Hopkins University School of Medicine, rekomendasi amnya adalah untuk menggalakkan semua mengambil suntikan vaksin, tidak kiralah sama ada mereka pernah dijangkiti ataupun tidak.
Walaupun jarang untuk bekas pesakit Covid-19 mengalami jangkitan semula, namun risikonya tetap ada. Malah, mereka juga berisiko untuk mengalami jangkitan berulang jika tahap antibodi mereka menurun.
Namun, jika anda baru sahaja sembuh daripada jangkitan Covid-19, pakar menyarankan agar anda menangguhkan dahulu pengambilan vaksin Covid-19.
Pastikan anda benar-benar sembuh barulah anda digalakkan mengambil suntikan.
Disebabkan bilangan vaksin yang masih lagi terhad, mereka yang sudah sembuh boleh menunggu hingga 90 hari selepas jangkitan untuk menerima vaksin. Walaupun begitu, tidak salah jika anda ingin melakukan vaksinasi lebih cepat.
Namun, disebabkan bekas pesakit Covid-19 mempunyai imunisasi semula jadi selepas jangkitan, eloklah mereka memberikan ruang sebentar untuk mereka yang tidak lagi dijangkiti untuk mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.
Elak Covid-19 walaupun sudah mengambil vaksin
Walaupun anda telah mendapatkan vaksin Covid-19, anda masih perlu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri seperti selalu mencuci tangan untuk mengelakkan penyebaran Coronavirus.
Masih ada risiko untuk dijangkiti Covid-19 setelah mengambil suntikan vaksin dos pertama. Oleh sebab itu, pastikan anda:
- Sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar rumah.
- Pastikan anda mematuhi jarak 1 meter daripada orang lain.
- Elakkan terlalu lama berada di dalam sebuah bangunan, lebih-lebih lagi bangunan yang tidak mempunyai sistem ventilasi yang baik.
- Basuh tangan dengan sabun dan air sekerap mungkin.
Bersama-sama, kita dapat membanteras wabak Covid-19 dan berdoa agar kita dapat hidup seperti dahulu kala dan dapat kembali bersua muka dengan ahli keluarga yang sudah lama terpisah.
Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doctor dan telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]