Mahkamah tetap 23 Feb depan untuk rayuan saman kes liwat Anwar

Mahkamah tetap 23 Feb depan untuk rayuan saman kes liwat Anwar

Pada 2017, kerajaan berjaya membatalkan saman Anwar berhubung kes itu di Mahkamah Tinggi atas alasan kes itu tidak mempunyai sebarang sebab tindakan.

Dalam samannya, Anwar Ibrahim turut mendakwa pendakwa raya ad-hoc dan peguam Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mewakili pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bermula 2013.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Feb depan bagi menentukan sama ada akan membenarkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengembalikan semula tuntutan samannya terhadap kerajaan berhubung kes liwat 2 atau tidak.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Lee Swee Seng mendengar hujah daripada peguam Anwar, Gopal Sri Ram; Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan peguam Harvinderjit Singh mewakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang merupakan pencelah dalam rayuan itu.

Hakim lain dalam panel itu ialah Abu Bakar Jais dan Supang Lian.

Pada 2017, kerajaan berjaya membatalkan saman Anwar berhubung kes itu di Mahkamah Tinggi atas alasan kes tidak mempunyai sebarang sebab tindakan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam samannya, Anwar turut mendakwa pendakwa raya ad-hoc dan peguam Shafee menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk mewakili pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bermula 2013

Anwar kemudiannya memfailkan rayuan terhadap saman itu selepas ia dibatalkan dan pada September 2018, pegawai khas bekas Peguam Nnegara Tommy Thomas, Siti Rahayu Mohd Mumazaini memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan Anwar mengembalikan samannya.

Beliau berkata, Shafee menerima RM9.5 juta antara 2013 dan 2014 daripada Najib untuk mengendalikan kes liwat 2.

Shafee kini dibicarakan atas empat tuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM9.5 juta yang diterima daripada Najib.

Terdahulu dalam hujahnya, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa saman Anwar bukanlah kes yang jelas untuk dibatalkan.

“Bayaran itu dibuat oleh seseorang (Najib) yang mempunyai kepentingan dalam sabitannya (Anwar),” katanya.

Sri Ram berkata, pasukan pembelaan sebelum ini cuba mencabar pelantikan Shafee daripada mengetuai rayuan kes liwat 2 pada 23 Ogos 2013.

Katanya, selepas permohonan itu dilakukan di mahkamah, Shafee telah menerima pembayaran pertama berjumlah RM4.3 juta daripada RM9.5 juta itu.

“Bayaran itu tidak didedahkan di mahkamah. Kegagalan beliau (Shafee) mendedahkannya menyebabkan pendengaran itu tidak adil,” kata Sri Ram.

Supang kemudiannya bertanya Sri Ram: “Adakah kamu meminta kami menghantar semula kes ini ke Mahkamah Tinggi?”

Sri Ram yang menjawab secara afirmatif berkata, mereka akan melakukan soal balas terhadap Shafee berhubung RM9.5 juta itu.

“Beri kami peluang untuk menguji kebenaran mengenai RM9.5 juta itu,” katanya.

Sementara itu, Suzana memberitahu mahkamah bahawa kes itu diputuskan berdasarkan fakta dan bukti.

“Tidak ada bukti dalam saman ini yang menunjukkan keluhuran Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah dikompromi,” katanya yang membalas pertanyaan Lee sama ada RM9.5 juta itu dianggap sebagai bayaran “rasuah”.

Harvinderjit memberitahu mahkamah bahawa Shafee hanya menerima RM1,000 daripada kerajaan untuk mengendalikan rayuan kes liwat 2.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.