
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut dipercayai dipukul di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Changlun, Kedah malam tadi, kata Ketua Polis negeri Kamarul Zaman Mamat.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia jam 8 malam selepas dibawa ke Hospital Jitra.
Katanya, mangsa sebelum itu dikatakan cuba melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan tetapi kemudiannya berjaya ditahan.
Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan kemungkinan dipukul serta berlaku kekerasan terhadapnya.
“Setakat ini, seorang suspek, iaitu pengawal pusat pemulihan berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.