AS kenakan larangan terhadap Smart Glove atas dakwaan amalan buruh paksa

AS kenakan larangan terhadap Smart Glove atas dakwaan amalan buruh paksa

Smart Glove menjadi syarikat Malaysia keenam berdepan larangan sedemikian dalam tempoh lebih dua tahun.

CBP Amerika Syarikat berkata, ia mengenal pasti tujuh daripada 11 petunjuk buruh paksa yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam pengeluaran Smart Glove. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat mengenakan larangan masuk terhadap produk pengeluar sarung tangan getah Smart Glove atas dakwaan amalan buruh paksa.

Ini menyusuli larangan terhadap produk Supermax Corporation Bhd atas dakwaan sama.

Smart Glove menjadi syarikat Malaysia keenam berdepan larangan sedemikian dalam tempoh lebih dua tahun.

Reuters melaporkan, Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) AS mengeluarkan “perintah tahan pelepasan” untuk melarang import produk Smart Glove dan kumpulan syarikatnya.

Ia memetik “bukti wajar” yang menunjukkan penggunaan buruh paksa di fasiliti pengeluaran syarikat itu.

CBP berkata, ia mengenal pasti tujuh daripada 11 petunjuk buruh paksa yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam pengeluaran Smart Glove, namun tidak menyatakan petunjuknya secara khusus.

Smart Glove tidak segera menjawab permintaan Reuters bagi mendapatkan komen.

Dua minggu lalu, AS mengenakan larangan masuk terhadap produk satu lagi pengeluar sarung tangan Malaysia, iaitu Supermax Corporation atas dakwaan serupa. Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Okt, CBP berkata, Supermax dan anak syarikatnya melanggar 10 daripada 11 petunjuk buruh paksa.

Top Glove, pengeluar sarung tangan terkemuka dunia, berdepan larangan serupa oleh CBP atas dakwaan buruh paksa pada Julai 2020.

Larangan itu ditarik balik dua bulan lepas selepas syarikat itu berkata, ia telah menyelesaikan semua isu berhubung petunjuk buruh paksa dalam operasinya, memetik laporan perunding bebas Impactt Ltd.

Syarikat-syarikat Malaysia lain yang pernah berdepan larangan oleh CBP sebelum ini termasuk Sime Darby Plantation, FGV Holdings Bhd, dan WRP Asia Pacific.

Sementara itu, aktivis pekerja asing Andy Hall mengalu-alukan keputusan CBP untuk mengenakan larangan terhadap Smart Glove dengan berkata, pekerja asing telah melaporkan kepada pasukannya tentang persekitaran yang buruk di syarikat itu selama beberapa tahun.

Isu-isu lain yang dibangkitkan termasuk pekerja membayar yuran pengambilan yang tinggi dan terpaksa tinggal dalam keadaan sesak, katanya.

“Saya telah menghubungi pihak berkuasa tempatan mengenai dakwaan pekerja Smart Glove sejak sekian lama tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Saya mengalu-alukan keputusan CBP ini dan berharap tindakan penguatkuasaan perdagangan terhadap syarikat ini akan membawa kepada perubahan pantas dalam persekitaran hidup dan pekerjaan buruk yang ditanggung pekerja syarikat ini di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.