
Lelaki Malaysia itu ditahan pada 2009 kerana mengedar 42.72g diamorphine (heroin) dan disabitkan dua tahun kemudian. Hukuman itu dikekalkan setelah melalui pelbagai proses rayuan.
Harm Reduction International; International Network of People who Use Drugs; dan International Drug Policy Consortium; bersama 27 organisasi dan rangkaian lain, menggesa organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan blok seperti Kesatuan Eropah bertindak menghalang pelaksanaan hukuman mati Nagaenthran dan menggantikannya dengan hukuman lebih ringan.
“Penggunaan hukuman mati untuk kesalahan dadah jelas melanggar hak asasi manusia antarabangsa dan standard kawalan dadah seperti dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB; Majlis Hak Asasi Manusia; Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah; serta Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa.
“Tiada bukti bahawa hukuman mati mempunyai kesan menghalang penggunaan atau pengedaran dadah,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Menurut kumpulan berkenaan, penggunaan hukuman mati dan dasar berbentuk hukuman dalam kesalahan dadah, sebaliknya hanya mengukuhkan stigma dan diskriminasi terhadap pengguna dadah seterusnya menerukkan kitaran kemiskinan dan keterpinggiran.
“Dalam pada lebih banyak negara beralih daripada menggunakan hukuman mati sebagai kaedah mengawal kesalahan dadah, kajian Harm Reduction International menunjukkan Singapura antara negara yang masih kerap melakukannya,” kata mereka.
Mereka turut memetik masalah kesihatan mental dan ketakupayaan intelektual Nagaenthran, yang dilaporkan menghidap ADHD (hiperaktif dan kurang tumpuan) serta mempunyai IQ 69.
“Tambahan, pelaksanaan hukuman mati terhadap golongan kurang upaya mental atau intelektual dilarang undang-undang antarabangsa dan melanggar Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya, yang diratifikasi Singapura,” kata mereka.
NGO yang menandatangani petisyen itu dari pelbagai negara, bukan saja dari rantau ini malah juga dari Venezuela, Puerto Rico dan Hungary.