Halang lelaki amuk di surau, anggota polis cedera

Halang lelaki amuk di surau, anggota polis cedera

Lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental itu disyaki tidak mengambil ubat.

Suspek berjaya ditahan beberapa anggota polis dalam kejadian di surau, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).
KOTA KINABALU:
Seorang anggota polis cedera ringan ketika cuba menenangkan seorang lelaki yang mengamuk, dalam kejadian di surau, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), semalam.

Polis dalam kenyataan, berkata lelaki berusia 47 tahun itu yang dipercayai mengalami masalah mental, menghunuskan pisau sepanjang 21cm ke arah jemaah di surau berkenaan, dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah, berkata sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kes berkenaan, sepasukan polis digerakkan ke kawasan kejadian. Setiba mereka di surau itu, mereka menjumpai lelaki berkenaan masih bersikap agresif.

Katanya, anggota polis tercedera itu mengalami luka di jarinya, sebelum lelaki terbabit berjaya ditenangkan.

Zaidi berkata, suspek bertindak dalam keadaan berbahaya selepas disyaki tidak mengambil ubat.

Ketika ditahan, lelaki berkenaan mempunyai kad janji temu dengan sebuah hospital psikiatrik, di sini.

Anggota polis yang cedera itu dirawat di klinik di lapangan terbang terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.