
Mereka sebelum ini didakwa atas tuduhan membunuh.
Ketika ditanya sama ada AGC akan memfailkan rayuan untuk mengembalikan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh, Peguam Negara Idrus Harun berkata: “Ya, kami akan memfailkan rayuan.”
Keenam-enam tertuduh terselamat daripada hukuman gantung tetapi masing-masing dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Hakim dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.
Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan tetapi dilepaskan daripada pertuduhan itu pada akhir kes pendakwaan.
Dua belas penuntut terbabit ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.
Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 Mei 2017 dan 22 Mei 2017.
Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Azman dalam penghakimannya memutuskan bahawa sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima penuntut UPNM pada anggota badan Zulfarhan telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.
Beliau berkata, selepas mengambil kira keterangan pakar perubatan yang merupakan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membuat dapatan bahawa kematian mangsa bukan kematian mengejut selepas dicederakan.