
M1 merangkumi 10% daripada mereka yang dikategorikan dalam kumpulan M40.
Eddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kumpulan itu mempunyai pendapatan sekitar RM4,850 dan RM5,880 sebulan.
“Bantuan terbaru kerajaan, BKM, hanya untuk mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.
“Jadi dalam kategori M1, daripada 10% ini (M40), hanya 14% layak menerima BKM,” katanya menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat.
Katanya, bantuan lain yang disediakan untuk M40 di bawah Bajet 2020 termasuk pelepasan cukai dan kemudahan pengeluaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Eddin berkata, Jabatan Perangkaan mendapati purata pendapatan isi rumah bulanan rakyat Malaysia menurun sebanyak 10.3% kepada RM7,089 tahun lalu, berbanding RM7,901 pada 2019.
Sementara itu, 2% atau kira-kira 600,000 isi rumah daripada kumpulan M40 turun kepada kategori B40 akibat pandemik Covid-19.
Eddin berkata, satu lagi kajian mengenai purata pendapatan isi rumah akan dilaksanakan tahun depan.
Mengulas cadangan Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) supaya pemprofilan geografi dilakukan bagi memastikan langkah bantuan yang lebih strategik, Eddin berkata, ia adalah antara perkara yang sedang dikaji oleh Putrajaya.