Pemansuhan RPGT beri kelegaan kepada pemilik rumah

Pemansuhan RPGT beri kelegaan kepada pemilik rumah

Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah (HBA) Chang Kim Loong, berkata persatuan mengalu-alukan peruntukan RM2 bilion bagi skim jaminan pinjaman perumahan bagi individu tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bajet 2022 mengumumkan pemansuhan Cukai Keuntungan Harta dan Tanah (RPGT) terhadap hartanah dimiliki lebih enam tahun, manakala RPGT bagi hartanah dimiliki kurang daripada tempoh itu, masih kekal.
PETALING JAYA:
Persatuan Pembeli Rumah (HBA) menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan Cukai Keuntungan Harta dan Tanah (RPGT) terhadap hartanah dimiliki lebih enam tahun.

Mengulas berkenaan Bajet 2022, Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong, berkata fungsi RPGT adalah sebagai cukai anti-spekulatif, bagaimanapun mana-mana hartanah dimiliki lebih enam tahun, bukan dikira sebagai pelaburan bersifat spekulatif.

Katanya, persatuan berkenaan juga mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi skim jaminan pinjaman perumahan bagi individu tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Ekonomi gig menjadi penyelamat kepada banyak individu yang hilang pekerjaan dan mereka memilih menjadi penghantar kurier dan makanan atau menceburi pelbagai lagi bentuk pekerjaan sambilan.

“Pekerja ini kekal secara ekonominya produktif, justeru mereka sepatutnya diberi akses pembiayaan untuk membeli aset seperti hartanah,” katanya.

Bagaimanapun, Chang berkata, HBA berharap skim terbabit hanya terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja, selain membabitkan hartanah mampu milik.

Sementara itu, pemaju perumahan berpangkalan di Melaka, Anthony Adam Cho, berkata pemansuhan RPGT terhadap hartanah dimiliki lebih enam tahun berperanan menjadi pemangkin kepada pelabur hartanah tulen.

“Pemilik perumahan tulen yang sebelum ini sangsi untuk menjual hartanah mereka hanya kerana cukai berkenaan, kini tidak lagi bimbang terhadap kos ditanggung untuk berbuat demikian.

“Keuntungan terhadap sebahagian hartanah boleh dikatakan cukup tinggi. Sebagai contoh pada 2012, anda dapat memiliki rumah di Putra Heights pada harga RM300,000. Kini, kediaman itu dinilai pada harga RM1 juta. Jadi, kadar RPGT untuk hartanah itu menjadi terlalu tinggi,” katanya.

Cho berkata, RPGT terhadap hartanah dimiliki dalam tempoh panjang juga tidak adil kepada pembeli.

Berkenaan skim jaminan pinjaman perumahan bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, Cho berkata, peruntukan RM2 bilion itu membuktikan petanda baik bagi golongan terbabit.

“Kita mengetahui bahawa tanpa pendapatan tetap pastinya peminjam berdepan kesulitan mendapatkan pinjaman perumahan, jadi pengumuman berkenaan skim berkenaan dapat membantu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.