Rebat pinjaman PTPTN perkukuh ‘mentaliti subsidi’, kata bekas pegawai perbendaharaan

Rebat pinjaman PTPTN perkukuh ‘mentaliti subsidi’, kata bekas pegawai perbendaharaan

Pelajar kita harus diajar kepentingan melunaskan hutang, kata Ramon Navaratnam.

Pemberian rebat 10-15% kepada peminjam PTPTN dalam Bajet 2022 mendapat kecaman dalam talian.
PETALING JAYA:
Pemberian diskaun untuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi contoh buruk kerana ia mengukuhkan “mentaliti subsidi” yang wujud sejak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dilancarkan, kata seorang bekas pegawai tinggi perbendaharaan.

Ia juga meletakkan nilai generasi akan datang dalam risiko, kata bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ramon Navaratnam, yang membantu merangka DEB.

Dalam ucapan Bajet 2022 pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa rebat antara 10-15% akan diberikan kepada peminjam PTPTN.

Ini menerima kecaman hebat dalam talian apabila warga net mendakwa ia memberi ganjaran kepada peminjam yang cuai dan menghukum mereka yang bersungguh-sungguh membayar balik pinjaman.

Ramon Navaratnam.

Tidak bersetuju dengan skop rebat yang luas, Navaratnam berkata, konsep membayar hutang mesti dipelihara.

“Pelajar perlu dikategorikan supaya mereka yang berada dan berkemampuan masih diwajibkan membayar hutang tepat pada masanya.

“Bagi mereka yang mengalami kesulitan, kerajaan boleh menunjukkan belas kasihan dengan melanjutkan tempoh bayaran pinjaman supaya mereka dapat lebih banyak ruang untuk ‘bernafas’,” katanya kepada FMT.

“Hutang tetap hutang, dan mesti diselesaikan. Pelajar kita harus diajar kepentingan melunaskan hutang, satu nilai penting yang patut diterapkan dan termasuk dalam pelbagai ajaran agama.”

Katanya lagi, dana untuk pinjaman PTPTN mesti ada sumbernya dan pemberian diskaun akan mengurangkan jumlah wang tersedia untuk Kementerian Pengajian Tinggi, justeru mengurangkan jumlah pinjaman yang boleh diberikan.

“Tiada dalam dunia ini dana tanpa had, wang yang digunakan untuk membiayai pinjaman pelajar perlu datang dari suatu sumber,” katanya.

Mesej yang akan dihantar secara meluas juga menjadi kebimbangan, katanya.

“Dunia memerhatikan kita dan meletakkan kita pada standard global, jadi kita perlu bertindak sewajarnya,” katanya.

“Jika kita terus menggalakkan mentaliti subsidi ini, apakah yang akan dikatakan tentang cara negara menangani hutang?

“Bagaimana tanggapan negara lain terhadap kita? Siapa yang percaya kita akan melaksanakan tanggungjawab kita tepat pada masanya?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.