Punca kematian remaja sehari lepas lengkap vaksin masih belum diketahui, kata JKN Perak

Punca kematian remaja sehari lepas lengkap vaksin masih belum diketahui, kata JKN Perak

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat lengkap.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mendapat makluman mengenai kematian remaja berkenaan pada 24 Okt lepas, menurut Dr Ding Lay Ming. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Punca sebenar kematian seorang remaja lelaki sehari selepas menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Perak pada 23 Okt lepas masih belum diketahui.

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat lengkap bagi mengetahui punca kematian remaja berkenaan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mendapat makluman mengenai kematian remaja berkenaan pada 24 Okt lepas.

Beliau berkata, remaja berkenaan dimaklumkan tidak mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin atau ubat dan tidak diketahui mempunyai sebarang penyakit kronik.

“Pada 24 Oktober jam 9.30 pagi sehari selepas suntikan vaksin tersebut, beliau ditemui dalam keadaan sesak nafas dan kemudiannya tidak sedarkan diri di rumah.

“Beliau telah dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada 24 Oktober jam 10.40 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Ding berkata, bedah siasat yang dijalankan pada 3.40 petang hari yang sama (24 Okt) mendapati terdapat penyempitan saluran paru-paru (Spontaneous Bronchospasm).

Tambah beliau, semua sampel tisu dalam badan remaja berkenaan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana terdapat keputusan ujikaji yang belum diterima,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.