Urus hutang biar perbelanjaan boleh guna untuk keutamaan lain, kata ahli ekonomi

Urus hutang biar perbelanjaan boleh guna untuk keutamaan lain, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi berkata pembiayaan hutang kerajaan mungkin berisiko mengambil sebahagian besar daripada Belanjawan.

Seorang ahli ekonomi berkata, ketika tempoh krisis, kerajaan tidak mempunyai banyak ruang fiskal dan mungkin memberi bebanan kepada rakyat.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu meneliti untuk menyeimbangkan dan menstruktur semula hutang negara dalam tempoh jangka panjang supaya ia tidak menggunakan peruntukan untuk keutamaan lain dalam belanjawan, termasuk perbelanjaan kebajikan, kata ahli ekonomi.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, kerajaan harus memastikan hutang itu dibiayai pada kadar kos paling rendah dan tidak memberi kesan asakan keluar terhadap dana yang digunakan untuk sektor swasta.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid yang menyifatkan amalan kerajaan yang bergantung kepada pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang adalah “membimbangkan”.

“Separuh daripada hutang baharu digunakan untuk membayar pinjaman yang matang, dan ia sepatutnya dibayar dengan lebihan hasil yang ada,” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen semalam.

Ia susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020.

Bagaimanapun, Williams berkata, langkah menggunakan pinjaman baharu untuk pembayaran balik prinsipal pinjaman adalah kaedah yang munasabah sekiranya kos pembiayaan yang dikenakan terhadap pinjaman baharu itu adalah lebih rendah atau jumlah akhir yang terhutang lebih rendah.

Namun katanya, terdapat risiko bahawa pembiayaan hutang itu mungkin mengambil sebahagian besar daripada bajet persekutuan serta menggunakan perbelanjaan untuk perkara atau keutamaan lain seperti kesihatan dan kebajikan sosial.

“Kerajaaan kemudiannya akan terus mempunyai komitmen untuk meneruskan kos pembayaran semula dalam tempoh jangka panjang.

“Sebagai contoh, 16.5% atau RM39 bilion daripada Belanjawan 2021 di Malaysia digunakan untuk membiayai hutang. Ini lebih tinggi berbanding 2019, apabila ia hanya 12.5% atau RM32.9 bilion.

“Ini boleh digunakan untuk perkara lain seperti kesihatan atau kebajikan sosial sekiranya jumlah hutangnya lebih rendah,” katanya.

Katanya, ini bermakna, ketika tempoh krisis seperti ini, kerajaan tidak mempunyai banyak ruang fiskal dan mungkin memberi bebanan kepada rakyat misalnya, menerusi pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito mengingatkan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi menerusi peningkatan pinjaman mungkin boleh menyebabkan salah agihan sumber dan mengakibatkan inflasi.

“Pinjaman dan perbelanjaan kerajaan juga boleh mengubah struktur harga relatif, kerana dengan perbelanjaannya kerajaan mungkin menyebabkan harga bergerak ke arah yang tidak semestinya ditentukan oleh pilihan penggunaan dalam pasaran,” katanya.

Ferlito berkata peningkatan pinjaman kerajaan akan meningkatkan kadar faedah dan menyebabkan asakan keluar pelaburan swasta, yang mana ia akan menyekat peluang keusahawanan dan pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.