
Dalam dunia komunikasi politik moden, propaganda tidak lagi wajar dilihat sebagai istilah kotor yang hanya sinonim dengan rejim autoritarian. Dalam konteks demokrasi sekalipun, propaganda tetap diperlukan untuk membina persepsi, mengawal maklumat, dan menanam kesetiaan melalui simbol serta naratif yang berulang. Namun begitu, propaganda hanya benar-benar berkesan apabila ia dilaksanakan secara sistematik, berterusan, dan berlangsung tanpa disedari oleh khalayak.
Seperti dihujahkan oleh Harold D Lasswell (1927), propaganda ialah ‘pengurusan pendapat kolektif melalui simbol yang signifikan’. Baginya, propaganda yang berjaya bukanlah yang memaksa rakyat secara langsung, tetapi yang mengawal tingkah laku melalui manipulasi simbol dan maklumat budaya.
Melanjutkan pandangan ini, Jacques Ellul, turut memperhalusi konsep itu dalam karya pentingnya Propaganda: The Formation of Men’s Attitudes (1965). Menurut Ellul, propaganda moden tidak lagi hanya menyampaikan maklumat, tetapi membentuk cara manusia berfikir dan merasai realiti. Propaganda paling berkesan berlaku apabila ia menyerap ke dalam budaya harian, menjadi sebahagian daripada rutin, dan membina ‘realiti kedua’ yang akhirnya diterima sebagai kebenaran.
Apabila propaganda menjadi sebahagian daripada budaya, kemampuan individu untuk berfikir bebas akan terhakis kerana tafsiran terhadap dunia telah terlebih dahulu dibentuk bagi pihak mereka.
Dalam sejarah Malaysia, antara contoh paling signifikan propaganda sistematik ialah kempen Semarak dan Setia, yang digerakkan Allahyarham Mohamed Rahmat (Tok Mat Bulat). Beliau memegang jawatan menteri penerangan pada 1978–1982 dan 1987–1999, serta setiausaha agung Umno dari 1988 hingga 1996, satu kedudukan yang memberi beliau akses penuh kepada aparat kerajaan dan jentera parti.
Era 1987/88 merupakan tempoh politik paling bergolak, melibatkan krisis perlembagaan, pemecatan Salleh Abas, perpecahan dalaman Umno antara ‘Team A’ dan ‘Team B’, pengharaman Umno, Operasi Lalang dan defisit keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara. Dalam keadaan genting ini, kerajaan bawah Dr Mahathir Mohamad memerlukan strategi komunikasi yang mampu memulihkan rasa percaya rakyat terhadap negara dan pemerintah.
Kempen Semarak dijalankan ke seluruh negara untuk membangunkan semula semangat patriotik dan keyakinan rakyat. Program ini hadir dengan ucapan pemimpin, deklamasi puisi, penanaman pokok, perasmian balai komuniti, aktiviti kebudayaan dan pertemuan massa yang memberi ruang kepada kerajaan untuk menjelaskan dasar serta mendekatkan diri dengan masyarakat.
Pengalaman peribadi dalam program Semarak turut memberi kesan mendalam kepada penulis. Pada tahun 1987 di padang Tonggak 10, Sungai Besar, ribuan rakyat termasuk saya yang ketika itu berusia 15 tahun berhimpun untuk mendengar ucapan Mahathir dan pemimpin negeri, merasai suasana kolektif yang penuh emosi. Naratif ucapan berulang kali disebut berkait kesetiaan, bahawa kerajaan yang berkesan akan terhasil dari ‘pemimpin yang mendapat sokongan rakyat’. Kehadiran masyarakat berbilang kaum dengan jentera kerajaan dan parti bergabung dalam satu masa.
Setelah mendalami ilmu propaganda, saya menyedari bahawa Semarak berfungsi sebagai medan doktrin untuk menghubungkan semula pemimpin dengan rakyat dan memulihkan keyakinan politik ketika pemerintah merasakan populariti mereka menurun.
Selepas Umno diharamkan pada 1988, Umno baru ditubuhkan dan sekali lagi satu strategi komunikasi diperlukan bagi mendapatkan sokongan rakyat. Maka lahir kempen Setia, yang asasnya menekankan rakyat perlu setia kepada negara, kerajaan dan pemerintahan. Program ini dilancarkan di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Secara tidak langsung selepas konflik pemerintahan 1987, rakyat harus kembali setia kepada pemimpin dan negara. Selepas perpecahan parti Umno ‘Team A dan B’, ahli parti perlu akur dan setia kepada institusi kepimpinan.
Elemen paling diingati dalam kempen ini ialah lagu Setia yang dinyanyikan oleh Francissca Peter selepas Berita Jam 8. Melodi ciptaan Ahmad Dasilah dan lirik yang dikaitkan dengan Tok Mat Bulat atau Habsah Hassan (bergantung versi) menjadi simbol nasional yang meresap masuk ke semua saluran komunikasi massa ketika itu.
Tok Mat Bulat memahami bahawa lagu mempunyai kekuatan unik sebagai alat propaganda, ia menyentuh emosi, membentuk identiti, dan mengikat rasa kebangsaan tanpa perlu menggunakan paksaan. Seperti dirumuskan oleh Lasswell (1927), lagu berfungsi sebagai simbol signifikan yang mengurus pendapat kolektif.
Populariti lagu Setia membuktikan propaganda tidak memerlukan pendekatan kasar. Tidak perlu memuji kerajaan secara berlebihan; cukup dengan melodi yang indah, lirik yang lunak dan pengulangan yang konsisten. Melalui t-shirt, mural sekolah, papan tanda JKK kampung, pertandingan pidato dan deklamasi puisi, sebaran televisyen dan radio, lagu Setia berkembang menjadi sistem simbolik yang membentuk semula emosi rakyat terhadap negara dan kepimpinan nasional tanpa disedari.
Propaganda yang dilakukan oleh Tok Mat Bulat berkesan kerana beliau berada pada simpang strategik antara kuasa kementerian dan kuasa parti. Jentera kerajaan dan parti dapat dimanfaatkan seoptima mungkin. Dengan punca kuasa tersebut, penyebaran maklumat, kawalan naratif dan program turun padang dapat dirangka secara menyeluruh.
Dalam kerangka Herman & Chomsky (1995), keadaan ini memenuhi ciri propaganda moden yang digerakkan melalui pemilikan media oleh elit pemerintah. RTM dan TV3 dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyebarkan naratif berulang kali.
Kandungan berita, naratif nasional dan agenda maklumat dapat disusun untuk menghasilkan persetujuan rakyat secara sistematik. Melalui gabungan program Semarak dan Setia, kerajaan berjaya memulihkan keyakinan rakyat, membina semula semangat patriotisme dan menstabilkan suasana politik yang tegang. Lagu Setia menjadi ingatan kolektif yang mencerminkan bagaimana propaganda yang halus mampu mengubah sikap, prinsip dan cara fikir rakyat tanpa menggunakan paksaan fizikal atau paksaan politik tanpa disedari.
Pengajaran penting yang boleh diambil ialah bahawa setiap konflik mempunyai ruang penyelesaian dan dalam politik, penyelesaian itu sering hadir melalui pengurusan naratif yang sistematik, penyusunan simbol yang konsisten dan penggunaan emosi rakyat sebagai asas penyatuan.
Propaganda yang berkesan bukan yang menekan, tetapi yang meresap masuk tanpa disedari sehingga khalayak menerima mesej tersebut sebagai sebahagian daripada identiti mereka sendiri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.