Seorang dalam 4 penduduk Malaysia alami strok menjelang 2040, menurut kaji selidik

Seorang dalam 4 penduduk Malaysia alami strok menjelang 2040, menurut kaji selidik

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, Malaysia juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit strok dibebani pelbagai morbiditi dengan tujuh daripada 10 pesakit strok bergantung kepada orang lain bagi meneruskan kehidupan. (Gambar Rawpixel)
PUTRAJAYA:
Hasil kaji selidik “Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide” pada 2016 menganggarkan seorang daripada empat penduduk Malaysia akan mengalami strok menjelang 2040, sekiranya tiada tindakan pencegahan diambil sejak awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi menghindarinya, rakyat perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan tidak merokok atau mengambil tembakau dalam apa jua cara, mengamalkan pemakanan sihat, melakukan aktiviti fizikal dan mengelakkan pengambilan alkohol.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan membantu pesakit dan penjaga pesakit, selain melaksanakan langkah pencegahan serta kawalan bagi memastikan prevalen dan komplikasi penyakit strok dapat diturunkan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) menyeru semua pihak, terutamanya petugas kesihatan agar bersama-sama menggembleng tenaga memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpaksikan pesakit.

“Ini dapat membantu pesakit dan penjaga dalam menangani isu berkait penyakit strok, seterusnya mengurangkan prevalen dan komplikasinya akan tercapai,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Strok Sedunia.

Berkongsi laporan kajian “Monitoring Stroke Burden in Malaysia” yang dijalankan pada 2017, beliau berkata, kajian itu menganggarkan 150 dalam 100,000 penduduk Malaysia diserang strok, dengan purata kemasukan harian ke hospital sebanyak 92 kes.

Katanya, kajian itu turut menunjukkan 40% daripada pesakit strok adalah individu berusia 60 tahun ke bawah.

“Malaysia juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok dan pesakit strok dibebani pelbagai morbiditi dengan tujuh daripada 10 pesakit strok bergantung kepada orang lain bagi meneruskan kehidupan.”

Walaupun kualiti perkhidmatan strok akut di negara ini menunjukkan peningkatan, namun masih terdapat individu yang mengalami ketidakupayaan selepas menghidap penyakit strok.

Beliau berkata, ketidakupayaan itu adalah kompleks dan melibatkan pelbagai aspek, termasuk fizikal, kognitif, sosial dan emosi.

“Ini meningkatkan beban penyakit dan mewujudkan keperluan tinggi untuk perkhidmatan rehabilitasi strok yang efektif bagi mengurangkan komplikasi awal serta meningkatkan tahap kefungsian seseorang individu yang mengalami strok.”

Mengenai komitmen kerajaan, beliau berkata, KKM telah mewujudkan Kerangka Strategik Program Perubatan 2021-2025 pada Mei tahun lepas dengan menggariskan tujuh strategi utama khususnya bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.