Kerajaan perlu perjelas mengenai GST, peranan GLC dalam Bajet 2022

Kerajaan perlu perjelas mengenai GST, peranan GLC dalam Bajet 2022

Ahli ekonomi berkata pembentangan bajet juga perlu memberi petunjuk jelas terhadap hasil dan perbelanjaan kerajaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang bawah RMK12.

PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai pembaharuan cukai dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.

Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) Firdaos Rosli berkata: “Bajet persekutuan tidak sepatutnya hanya mengumumkan mengenai perbelanjaan. Ketika itulah kerajaan harus memberi petunjuk jelas mengenai hasil dan perbelanjaan dalam beberapa tahun akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).”

Beliau berkata, pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2018 memberi kesan buruk ke atas hasil kerajaan dan negara masih belum lagi pulih susulan langkah itu.

“Kita kini mempunyai asas cukai yang sangat sempit, iaitu kita mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap cukai korporat dan individu. Hanya peratusan kecil daripada populasi membayar untuk semua.

“Ini menyebabkan kebergantungan lebih besar kepada dividen daripada GLC seperti Petronas. Ia telah mengisytiharkan dividen lebih tinggi kepada kerajaan sejak 2018 apabila pembaharuan cukai diterbalikkan semula.”

Firdaos berkata, kerajaan tidak mungkin mengumumkan pelaksanaan kembali GST sekarang tetapi agak sukar untuk Malaysia mengelakkan langkah yang sama.

Katanya, ia lebih wajar sekiranya Putrajaya menjelaskan ke mana arah tuju rejim cukai negara supaya pasaran boleh membuat persediaan berhubung pengenalan semula GST.

Menurutnya, cukai penggunaan bukan sahaja meluaskan asas cukai tetapi juga menyediakan tahap kebolehramalan.

“Jika anda terlalu bergantung kepada cukai langsung seperti cukai korporat dan pendapatan, hasil cukai akan turun apabila produktiviti turun. Namun dengan GST, anda mempunyai daya apungan cukai dengan lebih baik ketika krisis.”

Mengenai GLC katanya, peranannya dalam ekonomi agak samar.

“Adakah terdapat keuntungan yang diperolehi untuk menambah hasil kerajaan atau entiti komersial bagi mencipta nilai? Jika terdapat entiti komersial, sokongan terhadap tabungan kerajaan tidak boleh menjadi objektif utama mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.