
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 yang dikeluarkan hari ini, semakan audit terhadap 669 sampel Borang K1 mendapati nilai kenderaan import di 28 borang terkurang nyata sebanyak RM2.58 juta menyebabkan ketirisan hasil duti kastam.
Perkara ini berlaku disebabkan kesilapan ejen kastam membuat pengikraran import dan kelemahan JKDM semasa kelulusan pengimportan diberikan, termasuk model kenderaan yang diikrarkan tidak tepat.
Laporan itu turut menyatakan pemeriksaan fizikal oleh pegawai pemeriksa juga tidak dibuat dengan teliti.
Semakan audit terhadap nombor casis bagi 12 kenderaan import yang dinyatakan di Borang K1 berbeza dengan model sebenar yang berdaftar di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ejen kastam juga tidak menyatakan model kenderaan yang tepat semasa pengikraran di Borang K1 melibatkan nilai kenderaan berjumlah RM0.94 juta dan jumlah duti kastam yang dibayar sebanyak RM1.73 juta.
Semakan lanjut mendapati nilai kenderaan sebenar sebagaimana warta kerajaan mengikut model kenderaan bagi lapan transaksi import diikrar adalah RM0.57 juta berbanding RM2.61 juta yang sepatutnya diikrarkan.
Justeru, pihak audit mengesyorkan denda dikenakan mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967 (Akta 235) terhadap pengimport kenderaan yang membuat perakuan/ikrar tidak tepat di Borang K1 dan siasatan sama ada berlaku kecuaian pegawai JKDM semasa meluluskan transaksi import kenderaan.
Cawangan Verifikasi dan Profiling Bahagian Perkhidmatan Teknik hendaklah menjalankan pemeriksaan fizikal secara berkala dan menyemak laporan penilaian risiko pengimport kenderaan untuk memastikan pungutan duti import adalah tepat.
Menurut laporan itu, bagi 2019 dan 2020, duti kastam terhadap kenderaan import persendirian menyumbang RM6.22 bilion atau 7.7% daripada hasil keseluruhan JKDM sebanyak RM80.60 bilion.
Sehingga Julai 2021, JKDM belum membuat sebarang tuntutan ke atas duti kastam yang terkurang pungut berjumlah RM4.01 juta.
Kadar duti atau cukai yang dikira termaktub di dalam Perintah Duti Kastam 2017, Perintah Duti Eksais 2017 dan Perintah Cukai Jualan 2018.
Kadar bagi duti import adalah 5% hingga 30%, duti eksais antara 60% hingga 105% dan cukai jualan import antara 0% hingga 10%.