
Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berkata, menurut penilaian kesan alam sekitar awal oleh Lynas pada 2008, tapak yang terletak berhampiran loji pengeluar nadir bumi itu mempunyai air bawah tanah dengan kedalaman kurang 1m.
“Apakah rasional memilih Gebeng sebagai tapak pelupusan kekal memandangkan kawasan itu adalah kawasan yang air bawah tanahnya kurang daripada 1m dan memandangkan sisa ini adalah sisa radioaktif yang mempunyai jangka hayat 14 bilion tahun?
“Memandangkan tapak pelupusan kekal yang awal sebelum tapak yang dipamerkan sekarang ini, di Bukit Ketam, ditolak oleh DOE (Jabatan Alam Sekitar) kerana ia adalah kawasan tadahan air,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika dihubungi, Fuziah yang selama ini lantang mengkritik Lynas berkata, antara syarat yang ditetapkan bagi membina PDF adalah ia dibina jauh dari sumber air.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan bahawa keadaan PDF itu boleh merosot selepas 50 tahun.
“Tiada jaminan sisa itu tidak akan bocor dan mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Walaupun ia memancarkan radiasi tahap rendah, masih boleh mendatangkan bahaya jika terdedah kepadanya bagi tempoh yang lama, tambah Fuziah.
Beliau juga tidak faham katanya, mengapa operasi Lynas masih belum digantung sehingga PDF dibina.
Pada Ogos, dilaporkan bahawa Lynas diberikan lanjutan enam bulan untuk mula membina PDF.
Bulan berikutnya, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata, sekatan pergerakan berikutan wabak Covid-19 telah melambatkan proses pencarian tapak yang sesuai.