
Mengulas kenyataan kerajaan bahawa ia sedang mempertimbangkan undang-undang untuk menangani pengabaian orang tua, penasihat Persatuan Penuaan Sihat Malaysia Nathan Vytialingam menyifatkan idea pembinaan rumah jagaan dan pusat aktiviti baharu sebagai simplistik.
Idea itu disebut di Dewan Negara baru-baru ini oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff ketika beliau bercakap mengenai rancangan kerajaan untuk menggubal undang-undang baharu itu.
Nathan berkata, beliau bimbang berhubung “kesempitan pemikiran” kerajaan.
“Kebanyakan negara mengamalkan mantra ‘penuaan setempat’ yang bermakna penjagaan dan terapi dibawa ke kediaman warga emas berbanding mencari rumah jagaan yang menyediakannya,” katanya kepada FMT.
Nathan, yang juga anggota majlis penasihat “Global Coalition on Ageing”, berkata, ini adalah pendekatan yang lebih murah bagi keluarga dan kerajaan, serta dapat menyediakan penjagaan peribadi yang lebih baik.
“Saya bukan menentang penjagaan berinstitusi seperti rumah jagaan, tetapi selalunya terlalu banyak tumpuan diberikan kepada ‘perkakasan’ dan persekitaran fizikal, bukan pada penjaga dan ‘perisian’, struktur yang diwujudkan untuk menggalakkan penuaan yang sihat,” katanya.
Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa kesejahteraan fizikal, mental dan sosial cenderung merosot dengan cepat di rumah jagaan yang tidak menyediakan penjagaan individu atau tanpa kakitangan profesional yang bertauliah.
Tambahnya, penjagaan warga emas mesti dianggap lebih daripada isu kesihatan dengan beberapa kementerian perlu memastikan orang ramai mengekalkan kualiti hidup yang tinggi pada usia emas mereka.
“Kementerian Pendidikan boleh mencadangkan dasar-dasar yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, sebagai contoh. Pernahkah ada Menteri Sukan yang bercakap tentang sukan untuk warga emas yang kita tahu boleh menggalakkan kesihatan fizikal dan kemahiran sosial?
“Orang ramai juga mesti dididik, bukan sahaja tentang cara menyediakan penjagaan sebaik boleh untuk ahli keluarga mereka yang lebih tua, tetapi juga bagaimana mereka boleh mengekalkan tabiat yang sihat apabila meningkat tua,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan patut berunding dengan pakar dan warga emas sendiri untuk menggubal undang-undang baharu dan merancang inisiatif untuk warga emas.
“Penuaan tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Semakin ramai orang mula menerima idea mengenai penuaan dan kekal sebagai anggota masyarakat yang bebas dan produktif. Mereka mesti diperkasakan untuk berbuat demikian,” katanya.