Hanya individu lengkap vaksin dibenar sembahyang di rumah ibadat ketika Deepavali

Hanya individu lengkap vaksin dibenar sembahyang di rumah ibadat ketika Deepavali

Bagaimanapun SOP ditetapkan adalah berbeza mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

Masyarakat India di negara ini diseru menyambut Deepavali dengan mematuhi SOP ditetapkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan memastikan penjarakan fizikal dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Individu yang lengkap divaksin Covid-19 sahaja dibenarkan menyertai aktiviti keagamaan dan sembahyang di rumah ibadat sempena perayaan Deepavali pada 4 Nov.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan berkata, SOP ditetapkan adalah berbeza mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut kenyataan itu, bagi rumah ibadat yang berada dalam Fasa 3 PPN, had kehadiran tertakluk kepada saiz ruang sembahyang rumah ibadat dengan mengambil kira penjarakan fizikal tidak kurang 1m.

“Tempoh waktu keagamaan dan sembahyang dibenarkan antara 6 pagi dan 2 petang serta antara 4 petang dan 10 malam. Pemberian makanan pula hanya dibenarkan secara berbungkus dan makan di rumah ibadat tidak dibenarkan.

“Bagi rumah ibadat yang berada dalam Fasa 4 PPN, saiz ruang sembahyang juga mengambil kira penjarakan fizikal tidak kurang dari 1m, aktiviti keagamaan dan sembahyang dibenarkan mengikut tempoh waktu ditetapkan rumah ibadat dan pemberian makanan hanya secara berbungkus,” menurut kenyataan itu.

Negeri di Fasa 3 PPN ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Selangor, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka berada di Fasa 4 PPN.

Kenyataan itu turut menyatakan, aktiviti perarakan adalah tidak dibenarkan dan bazar jualan Deepavali dibenarkan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga dan aktiviti ziarah kubur dibenarkan hanya untuk penerima vaksin lengkap sahaja,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan itu, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique menyeru masyarakat India di negara ini supaya menyambut Deepavali dengan mematuhi SOP ditetapkan, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri dan memastikan penjarakan fizikal dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.