Risiko kesihatan rendah makan biskut, kata Hisham

Risiko kesihatan rendah makan biskut, kata Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, purata tahap acrylamide adalah 246 μg/kg, iaitu di bawah paras ditetapkan peraturan Suruhanjaya Kesatuan Eropah.

Majlis Pengguna Hong Kong mendakwa tahap tinggi bahan penyebab kanser ditemui selepas ia menguji 60 sampel biskut yang dijual di wilayah itu.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan menjalankan penilaian risiko ke atas acrylamide dan glycidol dalam tiga jenama biskut terkenal yang dikilangkan di negara ini menunjukkan risiko kesihatan daripada pengambilannya adalah rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia turut mendapati tahap purata acrylamide ialah 246 μg/kg (mikrogram setiap kg), di bawah paras ditetapkan peraturan Suruhanjaya Kesatuan Eropah, iaitu 350 μg/kg.

Minggu lalu, Majlis Pengguna Hong Kong mendakwa tahap tinggi bahan penyebab kanser seperti glycidol dan acrylamide ditemui selepas ia menguji 60 sampel biskut yang dijual di wilayah itu.

Katanya, karsinogen itu muncul kerana suhu tinggi ketika menghasilkan produk dan berpunca daripada bahan tertentu yang digunakan ketika membuat biskut.

Hisham berkata, acrylamide dan glycidol adalah bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan makanan.

Tetapi, beliau berkata, bahan pencemaran itu boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proseses bersesuaian.

“Pengguna boleh mendapatkan panduan pencemaran acrylamide dalam makanan dari Facebook rasmi BKKM (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan).

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.”

Katanya, pengguna juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat, melalui http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat isu berkaitan keselamatan makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.