PRN Melaka: Rundingan kerjasama PAS-Umno makin positif, kata Samsuri

PRN Melaka: Rundingan kerjasama PAS-Umno makin positif, kata Samsuri

Naib Presiden PAS berkata perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan dan bakal mencapai kata putus tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasil perbincangan mengenai rundingan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbincangan PAS bersama Umno mengenai rundingan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka semakin positif, kata Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan dan bakal mencapai kata putus tidak lama lagi.

“Perbincangan (bersama Umno) sudah ada dan rundingan masih lagi dijalankan. Insya-Allah kita akan mencapai sesuatu yang positif.

“Hasil perbincangan akan diumumkan sebelum penamaan calon. Ia ‘fair and square for everybody’ (adil untuk semua pihak),” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Dalam pada itu, Samsuri turut menafikan dakwaan bahawa Umno telah memuktamadkan keputusan tidak bergandingan dengan mana-mana parti pada PRN Melaka.

“Adakah benar Umno telah membuat keputusan? Setahu saya mereka belum buat keputusan muktamad. Sekejap buka pintu, sekejap tutup pintu.

“Pintu perbincangan masih lagi dibuka, melihat kepada kenyataan-kenyataan terakhir daripada pucuk pimpinan, saya yakin kita ke arah itu, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Samsuri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk PRN Melaka tidak mengulas lanjut apabila ditanya mengenai jumlah kerusi akan ditandingi PAS pada pilihan raya berkenaan.

Beliau sebaliknya memberitahu proses agihan kerusi akan dilakukan secara adil bagi mengelak pertembungan tiga penjuru.

Sebelum ini, Samsuri menyatakan keyakinan bahawa gagasan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) menuju penyatuan sebelum hari penamaan calon pada PRN Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.