Kecoh di butik KLCC : KJ, warganet tegur ‘Karen’ enggan pakai pelitup muka

Kecoh di butik KLCC : KJ, warganet tegur ‘Karen’ enggan pakai pelitup muka

Wanita warga asing menimbulkan kekecohan selepas tidak berpuas hati dilarang masuk ke sebuah butik kerana tidak mahu memakai pelitup muka.

Wanita warga asing itu mendapat jolokan ‘Karen’ di Twitter kerana sikap mementingkan diri dan tidak mahu mematuhi peraturan negara ini.
PETALING JAYA:
Pengguna media sosial menyuarakan kemarahan susulan tindakan seorang pengunjung luar negara yang enggan mengenakan pelitup muka ketika memasuki sebuah butik mewah di KLCC, Kuala Lumpur.

Wanita itu yang trending di Twitter dilabel sebagai “Karen” bagi menggambarkan seseorang yang bersikap buruk, mementingkan diri, selain merasakan diri “istimewa” hanya kerana berkulit putih.

Hantaran video oleh pengguna, @DFEfiercefun, yang menunjukkan seorang wanita dari luar negara tidak dibenarkan masuk ke butik mewah, Dior, dengan tanda pagar “Karen” sudah mencapai angka 65,100 tontonan di Twitter.

Dalam video itu, wanita terbabit mendakwa menerima ugutan daripada seorang kakitangan bertugas di pintu masuk butik dengan mendakwa dirinya disentuh, selain turut mendakwa ditolak.

Bagaimanapun kakitangan berkenaan menafikannya.

“Anda tidak boleh menghalang saya, ini negara bebas,” katanya merungut terhadap kakitangan terbabit, dengan menyindir,”anda tidak memiliki butik ini”.

Pengguna bernama @nawalbaswedan berkata, “padahal 2 saat pakai mask (topeng) dah boleh shopping (membeli belah)…ni (ini) tidak..nak menyalak jugak,” katanya.

Pengguna lain, @SherynnWu berkata, “Mungkin jenis perlukan perhatian. That’s why (Itulah sebabnya),” katanya.

Manakala itu pengguna @aliceliam93, berkata, “Dtg (Datang) negara orang, buat perangai.”

Hantaran itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pengurusan KLCC.

“Apabila berada di Rome, buatlah seperti orang Roman lakukan. Bila di Malaysia, sila pakai pelitup muka. Tanpa mengira peraturan di tempat lain,” katanya dalam ciapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.