
Jurucakap pertubuhan itu, Abdul Hakim Othman berkata, penahanan itu disahkan anak Jamaluddin yang mengiringi bapanya.
“Terdahulu, penguat kuasa JHEAINS menahan isteri dan anak perempuan Jamaluddin di kediaman mereka di Bandar Seremban Selatan, sekitar 11 malam tadi.
“Sewaktu serbuan terbabit, hanya isteri, ahli keluarga dan dua pekerja beliau berada di tempat kejadian, manakala Jamaluddin, berada di luar Seremban.
“Penguat kuasa JHEAINS dilaporkan menggeledah kediaman Jamaluddin dan merampas beberapa buku. Mereka juga meminta supaya Jamaluddin balik segera atas alasan membantu siasatan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, ketika dihubungi menerusi panggilan telefon oleh seorang ahli keluarga Jamaluddin, seorang penguat kuasa yang tidak memperkenalkan diri mendakwa mempunyai waran untuk melakukan penggeledahan di premis berkenaan mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
“Tanpa waran tangkap, penguat kuasa JHEAINS menahan isteri dan seorang anak perempuan Jamaluddin serta dua pekerja beliau dan mereka dilaporkan dibawa ke Pusat Dakwah Islam, Paroi, untuk siasatan lanjut.
“Sehingga kini kami gagal menghubungi Jamaluddin,” katanya.
Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) pada Nov 2020 memfatwakan enam ajaran termasuk Hizbut Tahrir sebagai haram di negeri itu kerana bercanggah pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ajaran lain diharamkan ialah Golongan Anti Hadis, Ajaran Tapediri 65 atau Ba Tha Mim 114, upacara dan amalan perbomohan Ibrahim Mat Zin, ajaran Zikir Alunan Zat Cinta / Hikmah Al-Fatihah Mohd Zaman Mohd Nor dan ajaran Millah Abraham@ Ibrahim.