
Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pendirian tersebut dalam sidang media yang diadakan pada Isnin.
“Awal-awal lagi saya nak katakan yang PEJUANG tidak akan mengambil bahagian dalam pilihan raya ini. Sebabnya kita anggap ini adalah mainan politik. Orang ini tak serius dalam politik.
“Kita masuk dalam politik untuk berkhidmat untuk negara, untuk memajukan negara dan kehidupan yang selesa kepada rakyat,” katanya.
Mahathir menyifatkan PRN Melaka sebagai “permainan politik” dengan mereka yang terlibat tidak “serius” berkhidmat untuk negara dan rakyat.
Katanya, mereka yang terlibat menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yakin mempunyai majoriti dan berharap dapat membentuk kerajaan baharu.
“Kita anggap ini ialah mainan politik, orang ini tidak serius dalam politik, kita masuk dalam politik untuk berkhidmat untuk negara, memajukan negara dan memberi kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat, tetapi mereka ini cuma masuk politik untuk nak dapatkan jawatan,” katanya.
Melihat daripada lonjakan kes Covid-19 pada PRN Sabah lalu, beliau merasakan masih tidak sesuai untuk pilihan raya diadakan ketika pandemik.
Mahathir bimbang pengundi di PRN Melaka akan mencetuskan gelombang jangkitan lain, sambil berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya digulingkan sejak awal lagi.
“Kita sedar ini bukan masa yang terbaik untuk pilihan raya, kita sedar berkenaan dengan pandemik Covid-19…apabila diadakan pilihan raya di Sabah selepas itu bilangan kes meningkat sampai akhirnya 25,000 kes.”
Terdahulu, Setiausaha Agung PEJUANG, Amiruddin Hamzah dilaporkan berkata, parti itu mungkin tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRN Melaka berdasarkan pendirian parti yang menolak PRN diadakan dalam masa terdekat.