
Global Bersih, kumpulan pembaharuan pilihan raya berkata, peraturan baharu SPR yang membenarkan undi pos bagi semua rakyat Melaka yang berada di luar negara, sepatutnya dijadikan sesuatu yang kekal.
Peraturan baharu SPR itu diwartakan pada 20 Okt. Menurutnya, pengundi Melaka termasuk yang berada di luar negara, boleh memohon mengundi secara pos bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
PRN akan diadakan pada 20 Nov dengan undian awal pada 16 Nov.
Sebelum ini, rakyat Malaysia di selatan Thailand (wilayah Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei atau Kalimantan, Indonesia, tidak layak untuk melakukan undi pos sebaliknya perlu pulang ke negara ini untuk mengundi.
Setiausaha Agung Global Bersih, Nirmala Devi Windgaetter menggesa SPR menjadikan proses mengundi mudah untuk rakyat Malaysia di luar negara dengan menjadikan peraturan undi pos itu sesuatu yang kekal bagi semua pilihan raya.
“Adalah penting bahawa perubahan ini diguna pakai bagi semua pilihan raya secara kekal,” katanya.