
Ketua Polis Daerah Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki berusia 30 tahun yang juga penagih dadah itu memasuki premis terbabit untuk menyembunyikan diri daripada ditahan polis.
Beliau berkata, suspek sebelum ini dikehendaki polis susulan laporan adik perempuannya yang berusia 28 tahun pada 22 Okt lepas bahawa abangnya mengugut mahu mencederakan dia dan membakar keretanya. .
“Polis telah ke rumah suspek di Kampung Seneng, di sini, kira-kira 12 tengah hari tadi untuk menahannya.
“Suspek bagaimanapun bertindak agresif dengan berlari merempuh seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan melarikan diri. Suspek juga dilihat memegang pisau dan pemutar skru sehingga menyukarkan tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis yang membuat tindakan susulan berjaya menemui suspek 3km dari rumahnya, sebelum memasuki premis cermin mata di Pasar Jelawat untuk menyembunyikan diri.
“Anggota polis yang mengekorinya bagaimanapun berjaya mengesan suspek dan menahannya menggunakan pistol renjatan elektrik kerana suspek agak agresif.
“Tiada tebusan sepertimana tular dalam media sosial. Semua pekerja premis itu ke kedai sebelahnya untuk memudahkan polis membuat tangkapan. Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terlibat berkaitan kes yang dilaporkan.”
Polis turut merampas sebilah pisau, dua pemutar skru, empat biji pil kuda dan wang tunai RM515 daripada suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Peraturan 25(1)(e) & (o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.”
Berdasarkan siasatan polis, suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Terdahulu, tular sebuah video 22 saat menerusi perkongsian akaun Viral Media Kelate di Facebook yang mendakwa berlaku rompakan bersenjata di sebuah kedai di lokasi berkenaan.