Belanjawan 2022: Bantu kami kurangkan kos perniagaan, kata REHDA

Belanjawan 2022: Bantu kami kurangkan kos perniagaan, kata REHDA

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa Putrajaya memperkenalkan pakej bantuan baru bagi menghidupkan semula industri hartanah.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berkata, kerajaan pusat perlu menjadi pelopor dan penyelaras bagi semua peraturan atau syarat yang dikeluarkan kepada pemaju di setiap negeri sekiranya ia bermanfaat kepada semua pihak.
PETALING JAYA:
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan memperkenalkan inisiatif membantu pemaju mengurangkan kos perniagaan terutama penyediaan rumah mampu milik bagi menjadikan kos pembangunan sesebuah projek perumahan awam kekal lestari.

Presiden REHDA, Soam Heng Choon, berkata kerajaan menerusi syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyorkan supaya tidak lagi mengenakan syarat baru atau semakan untuk menaikkan caj sumbangan kepada pemaju.

Katanya, kerajaan pusat perlu menjadi pelopor dan penyelaras bagi semua peraturan atau syarat yang dikeluarkan kepada pemaju di setiap negeri sekiranya ia bermanfaat kepada semua pihak.

“Kerajaan kita menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melakukan pelbagai usaha untuk menjadikan sistem penyampaian perumahan berjalan lancar bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada rumah yang berpatutan.

“Malangnya, isu perumahan berada di bawah kuasa setiap kerajaan negeri, dan setiap negeri mempunyai garis panduan sendiri dan kerajaan persekutuan tidak mempunyai kawalan penuh ke atasnya.

“Lama-kelamaan, banyak negeri secara berterusan memperkenalkan syarat baru melebihi garis panduan pusat, yang mempengaruhi kos pembangunan dan akhirnya (memberi kesan kepada) kemampuan rakyat untuk membeli,” katanya kepada FMT.

Menjelang Belanjawan 2022 yang akan dibentang 29 Nov ini, REHDA turut menggesa Putrajaya memperkenalkan pakej bantuan baru bagi menghidupkan semula industri hartanah, selain meneruskan pelbagai langkah yang sudah diperkenalkan untuk memulihkan industri hartanah menerusi pelbagai pakej pemulihan.

Beliau berkata, perkara paling utama yang amat perlu dilakukan adalah pindaan Akta Langkah-langkah Sementara untuk Mengurangkan Kesan Koronavirus-19 2020 dengan mengecualikan tempoh kontrak bagi semua jenis perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pindaan akta itu sangat penting untuk melindungi kepentingan pihak yang terlibat khususnya pemaju kerana ketidakmampuan mereka untuk memenuhi tanggungjawab kontrak yang di luar kawalan mereka,” katanya.

Katanya, perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah memperkenalkan insentif kepada pembeli rumah pertama bagi kategori rumah mampu milik berharga sehingga RM500,000.

Selain itu, kerajaan perlu memastikan harga bahan binaan sentiasa stabil memandangkan ia kerap berubah sejak kebelakangan ini terutama bagi batang besi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.