
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, berkata tiada keperluan bagi bukti lisan dikemukakan.
Peguam T Gunaseelan berkata Nazlan selepas prosiding yang dilakukan secara maya memutuskan bahawa memadai isu perundangan itu dihujahkan berdasarkan dokumen awam dan rekod lain.
“Hakim menetapkan perbicaraan di mahkamah terbuka pada 23 November, namun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana isu membabitkan kepentingan awam,” katanya yang hadir bersama peguam Bastian Pius Vendargon.
Kedua-dua peguam berkenaan mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia, Malaysia Tamil Neri Kalagam, dan Gabungan Persatuan Pelajar Tamil Malaysia.
Selain itu, pihak lain adalah kerajaan, Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
Kesemua responden memfailkan permohonan mengikut Aturan 14A Perintah Mahkamah, untuk membatalkan kes itu tanpa perbicaraan.
Mengikut Aturan 14A, mahkamah boleh menentukan pertikaian bagi isu undang-undang tanpa perlu memanggil saksi.
Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili plaintif kes itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia.
Mereka memfailkan saman memohon deklarasi bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, justeru batal dan tidak sah.