PRN Sarawak: PBB sudah serah senarai calon

PRN Sarawak: PBB sudah serah senarai calon

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Alexander Nanta Linggi berkata senarai itu hanya menunggu dimuktamadkan.

Alexander Nanta Linggi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, beliau diarahkan oleh Ketua Menteri sejak 2019 untuk mengaktifkan bilik gerakan.
PETALING JAYA:
Senarai nama calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak sudah diserahkan kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Setiausaha Agung PBB, Alexander Nanta Linggi, berkata, senarai berkenaan hanya menunggu untuk dimuktamadkan.

“Untuk PBB, senarai nama sudah diserahkan kepada Ketua Menteri, namun parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) lain saya belum tahu.

“Bagaimanapun, sama ada senarai nama tersebut sudah dimuktamadkan atau tidak, sila bertanya dengan beliau (Abang Johari),” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Katanya, pihaknya sentiasa bersedia untuk PRN12 sejak tahun lalu lagi.

“Memang kita sudah bersedia sejak tahun lepas lagi kerana pada 2019 kita sudah menjangkakan akan ada PRN12 pada 2020, namun disebabkan Covid-19, maka pilihan raya tidak dapat diadakan.

“Saya sebagai Setiausaha Agung GPS juga telah diarahkan oleh Ketua Menteri sejak 2019 agar mengaktifkan bilik gerakan. Kita sudah aktifkan dan sudah pelbagai program dilakukan dan bahan-bahan untuk digunakan semasa kempen juga semua sudah disediakan,” katanya.

Ditanya mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bersatu di Sarawak, Nanta memberitahu akan ada perbincangan mengenainya.

“Itu kita tunggu keputusan apa yang akan ditetapkan nanti, sebab ini bukan sesuatu yang dibincangkan secara terbuka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.