
“Boleh dikatakan amat mencabar kerana saya terpaksa mengutamakan tugas demi negara kerana jarang sekali saya berpeluang untuk berjumpa dengan keluarga.”
Isteri dan anak perempuannya berada di Kuala Lumpur, manakala Naim, daripada Kor Armor Diraja, digerakkan ke banyak tempat antaranya Negeri Sembilan dan Johor.
Naim, 30, berkata, sepanjang pandemik, beliau menerima pelbagai tugasan berbeza dalam memastikan kawalan dan keselamatan.
“Seperti Ops Penawar, Ops Benteng dan juga penugasan yang lebih terperinci seperti penempatan khas kawalan di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19.”
Kira-kira 3,300 anggota tentera ditugaskan dalam Ops Penawar bagi membantu polis mengawasi sekatan jalan raya dan pos kawalan di serata negara.
Bagi Ops Benteng pula, Naim adalah antara ribuan anggota yang ditugaskan mengawasi sempadan bagi mencegah penyeludupan pendatang asing tanpa izin dalam usaha kerajaan mengekang wabak yang semakin memburuk.
Semua pengalaman itu amat mematangkan Naim kerana terpaksa mengharungi pelbagai perkara yang tidak pernah dirasainya sejak menjadi anggota tentera pada usia 18 tahun.

Namun, beliau mengakui bahawa cabaran terbesarnya ialah apabila terpaksa berjauhan dari anaknya. Lebih menyayat hati apabila anaknya itu langsung tidak mengenalinya kerana beliau sekali-sekala dibenarkan melawat keluarga.
“Saya ada anak seorang. Anak saya sekarang berumur 3 tahun. Anak perempuan. Apa yang saya nampak anak saya sedikit lambat untuk ‘bonding’ dengan saya.
“Lebih kurang dalam tiga tahun – ini tahun yang ketiga – baru anak saya ada ‘bonding’ dengan saya. Baru dia kenal ayah dia siapa.”
Naim berkata, beliau masih ingat perasaannya apabila menerima arahan serta-merta untuk diatur gerak ke kawasan lain untuk operasi, yang menurutnya banyak memberikan kenangan.
“Pada masa itu saya tidak bersedia untuk ditugaskan di luar. Saya rasa bila bertugas luar saya maka lebih jauh dari keluarga,” katanya.
“Bila saya dapat sesekali berhubung dengan keluarga, emosi saya lebih stabil.”
Ditanya mengenai kritikan terhadap pihak penguat kuasa undang-undang sepanjang wabak, Naim cuba menghadapinya dengan fikiran positif.
“Ia bergantung kepada perspektif individu masing-masing. Apabila saya tengok media sosial, saya dapati ada kritikan negatif dan ada juga yang positif.
“Saya tengok kebanyakannya positif. Malah anggota tentera yang sudah bersara dan yang veteran, mereka masih lagi pertahankan anggota yang sedang bertugas.”
Buat masa ini, beliau cukup gembira kerana dapat menemui keluarganya semula selepas tidak menatap muka sejak Julai.
“Saya tak sabar untuk jumpa dengan ‘family’ saya untuk meluangkan masa bersama lebih mereka.”