Segelas teh, selaut hormat: Untuk wira yang tak pernah meminta

Segelas teh, selaut hormat: Untuk wira yang tak pernah meminta

Pengorbanan tidak bertepi, nyawa sebagai taruhan. Pesanan yang digenggam, bukan sekadar dilafaz.

Saya membesar di sebuah pekan kecil—bukan luar bandar benar, tetapi cukup damai untuk mengenal jiran dan cukup sibuk untuk melihat wira negara lalu lalang setiap minggu. Di pekan itulah, arwah ayah saya menjalankan dua perniagaan serentak: sebuah kedai kopi dan sebuah kedai runcit yang letaknya bersebelahan, saling menghidupkan satu sama lain.

Kedai kopi itu bukan hanya tempat orang dewasa bersembang sambil menghirup kopi panas atau menggulung rokok daun berbumbu cengkih. Ia juga tempat saya mengasah mata memerhati manusia.

Saya belajar bahawa pakaian tidak menentukan nilai seseorang, tetapi prinsip dan hati yang menghormati.

Arwah ayah seorang lelaki biasa. Tidak ke universiti. Tidak juga ke medan perang. Tetapi dia tahu siapa yang perlu dihormati. Dan itulah pelajaran terbesar yang beliau tinggalkan: menghargai tanpa menanti balasan.

Tindakan kecil, impak besar

Saya masih ingat satu peristiwa yang sering berulang. Setiap kali ada askar berseragam singgah minum di kedai kopi kami, arwah ayah tidak akan ambil duit mereka. Sama ada teh tarik, nasi lemak, — “Tak payah bayar, dik,” katanya.

Sebagai budak kecil ketika itu, saya pelik. Bukankah itu bermakna rugi?

Tapi jawapan ayah sangat mendalam: “Mereka sanggup mati demi kita. Kita tak rugi beri secawan teh.”

Ayah tidak menyimpan buku rekod untuk perbuatan itu. Tiada tanda ‘VIP askar’. Tiada poster ucapan Hari Pahlawan. Yang ada cuma hati yang faham bahawa keamanan yang kita kecapi ini dibayar dengan nyawa orang lain.

Wira tanpa nama, jasa tanpa noktah

Hari Pahlawan sering dikaitkan dengan nama-nama besar seperti Leftenan Adnan, Tok Janggut, dan Mat Kilau. Mereka wajar diangkat. Namun, ada juga pahlawan yang kita temui di tepi jalan—dengan seluar celoreng, wajah letih, dan mata berjaga.

Mereka mungkin tidak pernah masuk televisyen. Tapi mereka menjaga sempadan. Mereka meredah belantara, menyelamatkan mangsa banjir, berdiri di barisan hadapan ketika pandemik melanda.

Mereka membina jambatan yang runtuh, membina rumah yang hampir roboh. Banyak sebenarnya sumbangan mereka yang tak mungkin kita tuliskan. Dan lebih penting, mereka terus bertugas tanpa perlu dikenali.

Dari zaman Jepun ke perjuangan global

Ramai antara kita terlupa, anggota keselamatan negara telah lama menjadi benteng hadapan dalam pelbagai bentuk perjuangan—sejak sebelum merdeka lagi. Dalam era penjajahan Jepun sekitar 1941–1945, anak-anak watan telah bangkit dalam kumpulan gerila seperti Force 136 dan Pasukan Polis Sukarela, mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan keluarga, kampung dan tanah air dari kezaliman.

Ramai yang diseksa, hilang tanpa kubur, namun semangat mereka menjadi benih kepada penubuhan angkatan tentera yang kita kenali hari ini.

Malah selepas merdeka, Malaysia bukan hanya mempertahankan keamanan dalam negara. Sejak 1960, Malaysia telah menyertai lebih 30 misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk di Lubnan, Bosnia, Somalia, Angola, Timor Leste, dan Afghanistan.

Penglibatan awal ATM: Congo 1961–63

Malaysia mula terlibat dalam misi pengaman PBB ketika negara ini belum lagi wujud sebagai Malaysia. Malayan Special Forces (MSF) dihantar ke Congo pada 1961–63 dalam misi Organisation des Nations au Congo (ONUC).

Batalion RAMD termasuk 4, 6, 7 dan 2 RAMD serta Rejimen Peninjau menyertai pasukan antarabangsa bersama negara seperti Tunisia, Ghana, Indonesia dan lain-lain.

Dua anggota kita gugur: Yusof Yaakob, apabila gudang peluru meletup, dan Sional Jantan dalam kejadian lemas. Beberapa anggota dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani atas keberanian
luar biasa. Antaranya Maurice Lam, N.H. Siebel dan Lee Ah Pow.

Allahyarham Maamor Sudin dari Batalion 7 RAMD adalah antara mereka yang terlibat — saya masih bayi ketika beliau bertugas.

Pengorbanan beliau adalah sebahagian daripada warisan peribadi keluarga, tetapi juga sebahagian daripada sejarah kebangsaan. Misi Bakara, Somalia: Membantu Menyelamat Tentera Amerika

Misi Bakara, Somalia: Membantu menyelamat tentera Amerika

Pada 1993, sebagai sebahagian daripada UNOSOM II, MALBATT (Batalion ke19 RAMD Mekanis) dikerah ke Somalia. Dalam insiden Pasar Bakara, Mogadishu, anggota Malaysia menyelamatkan anggota tentera Amerika yang terperangkap selepas helikopter Black Hawk ditembak jatuh—walaupun ramai di kalangan pasukan kita cedera dan seorang Allahyarham Mat Aznan Awang telah terkorban dalam
misi itu.

Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur kemudian mengiktiraf keberanian anggota kita sebahagian dari pasukan yang disegani itu: “Kami selama-lamanya terhutang budi kepada hero Malaysia”

Filem MALBATT: Misi Bakara mengangkat sejarah ini bagi memperbetulkan naratif filem ‘Black Hawk Down’ yang mengabaikan penglibatan Malaysia dalam operasi menyelamat tersebut.

Beribu-ribu anggota telah dihantar. Ada yang kembali dengan pingat. Ada yang kembali dengan luka. Dan ada yang tidak kembali langsung. Mereka bukan hanya wira negara—mereka adalah duta keamanan sejagat.

Warisan tanpa harga, nilai sepanjang zaman

Kini, bertahun-tahun sudah berlalu sejak arwah ayah tiada. Kedai kopi sudah tiada. Kedai runcit itu pula kini diusahakan oleh orang lain.

Namun setiap kali saya melihat anggota tentera atau polis yang beruniform, saya teringat pesan ayah. Dan saya percaya, warisan penghargaan itu perlu terus hidup. Kita hidup di zaman digital.

Penghargaan kini mudah menjadi hantaran di media sosial—gambar hitam putih, kapsyen ‘Salute to our heroes’ dan emoji bendera. Tapi selepas itu, hidup kembali seperti biasa.

Saya tidak menyindir, tetapi kita perlu bertanya: Apa warisan sebenar yang kita sampaikan kepada generasi seterusnya? Warisan itu bukan sekadar tahu tarikh Hari Pahlawan.

Tetapi tahu menghormati mereka yang menjaga tanah air—walau hanya dengan sekadar ucap terima kasih, huluran teh, atau mendoakan keselamatan mereka.

Pahlawan hari ini bukan lagi seorang

Definisi pahlawan telah berubah mengikut zaman. Hari ini, ia tidak terhad kepada tentera atau polis. Kita lihat petugas kesihatan yang berjuang ketika pandemik. Anggota bomba yang menyelamatkan nyawa.

Guru yang mendidik walau kekurangan kemudahan. Namun satu unsur tetap kekal: pengorbanan demi orang lain. Dan pahlawan tidak pernah mengisytihar diri mereka sebagai wira.

Mereka hanya menjalankan tugas. Maka, kitalah yang perlu tahu menghargai. Jangan tunggu mereka gugur atau berpulang, baru kita ingin menulis puisi panjang atau membina tugu peringatan.

Jika Datang Seorang Tentera…

Sekiranya suatu hari nanti, anda terlihat seorang anggota tentera singgah minum di sebuah kedai kopi kecil, atau membeli barangan di kedai runcit kampung, ingatlah: Mereka tidak meminta layanan istimewa. Tetapi kita boleh beri penghormatan kecil yang bermakna.

Contohnya, hulurkan senyuman. Bayarkan secawan kopi. Atau ucap perlahan “Terima kasih, abang. Terima kasih kerana jaga negara kami.”

Kerana begitulah saya dibesarkan. Kerana begitulah cara arwah ayah saya mengajar tentang erti mengenang jasa.

Kita semua penjaga ingatan

Hari Pahlawan ialah simbol. Tetapi penghargaan sebenar berlaku setiap hari di jalanan, di sekolah, di balai, di sempadan, di kedai kopi, dan dalam hati.

Arwah ayah saya tidak ada gelaran Datuk, tidak ada anugerah negara. Tapi saya percaya, jika roh wira-wira negara boleh melihat, mereka akan senyum bila tahu ada seorang lelaki biasa di pekan kecil yang tidak pernah ambil duit daripada anggota tentera—kerana dia percaya, hanya orang yang faham harga keamanan, akan menghargainya.

Maka hari ini, kita semua—rakyat biasa, penjawat awam, peniaga kecil, pelajar sekolah, pemimpin negara—memikul satu tanggungjawab: Jangan biarkan jasa pahlawan berlalu sunyi.

Biar dari ceruk kampung hingga ke menara kota, kita sambut Hari Pahlawan dengan hati yang benar-benar menghargai.

Kerana negara ini tidak dibina oleh batu-bata semata, tetapi oleh darah dan pengorbanan yang kita tak mampu bayar kembali.

Selamat Hari Pahlawan 2025. Untuk mereka yang telah pergi dan mereka yang masih berdiri— kami tidak akan lupa!

 

Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.