Beri maklumat palsu guna alamat Istana Kinta, 2 peniaga didakwa

Beri maklumat palsu guna alamat Istana Kinta, 2 peniaga didakwa

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah memberi maklumat palsu bahawa alamat penuh tempat kediaman adalah Istana Kinta di Ipoh pada 2015.

Mahkamah membenarkan Mohamad Halmi Waramejini, 55, dan Affendy Abdul Aziz, 49, diikat jamin RM6,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan kes pada 8 Disember. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memberi maklumat palsu di kad pengenalan diri dengan menggunakan alamat kediaman diraja di Istana Kinta, enam tahun lalu.

Mohamad Halmi Waramejini, 55, dan Affendy Abdul Aziz, 49, mengaku tidak bersalah memberi maklumat palsu dalam butir material kad pengenalan bahawa alamat penuh tempat kediaman tertuduh dalam Malaysia adalah kediaman diraja Istana Kinta di Ipoh yang diketahui palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh dan tempat yang sama di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara UTC Perak di Aras 4, Pasar Besar Ipoh Jalan Dato’ Onn Jaafar Ipoh di dalam daerah Kinta pada 26 Okt 2015.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan mengikut Subperaturan 25(1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sally Chay manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Sally menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon wang jaminan dikurangkan atas alasan pendapatan kedua-duanya terjejas disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) selain mempunyai tanggungan keluarga.

Mohamad Halmi yang menetap di Johor Bahru, Johor menanggung isteri dan dua anak manakala Affendy yang tinggal di Subang Jaya, Selangor perlu menyara isteri dan 10 anak.

Hakim Norita Mohd Ardani membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mengarahkan mereka melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sebagai syarat tambahan, sebelum menetapkan 8 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.