OKU akan diberi plat kenderaan khas

OKU akan diberi plat kenderaan khas

Ia bagi menggantikan pelekat kenderaan untuk OKU.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Henry Sum Agong, berkata inisiatif itu mampu memastikan penguatkuasaan lebih telus dan mengelakkan penyalahgunaan fasiliti tempat letak kenderaan OKU.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan dalam proses akhir mewartakan pelaksanaan plat kenderaan orang kurang upaya (OKU) bagi menggantikan pelekat kenderaan untuk golongan itu, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Henry Sum Agong berkata, inisiatif baharu itu mampu memastikan penguatkuasaan lebih telus dan mudah dilakukan terhadap penyalahgunaan fasiliti tempat letak kenderaan OKU oleh masyarakat.

“Kementerian Pengangkutan juga dalam perancangan mewujudkan kod amalan terbaik bagi menyantuni golongan OKU serta menyambut baik cadangan ‘one pass for all purposes’ (satu pas untuk pelbagai tujuan).

“Pihak kementerian akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut sekiranya terdapat keperluan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara.

Bagi memastikan pengangkutan awam mesra OKU turut disediakan di kawasan pedalaman dan luar bandar, beliau berkata, kementerian itu melalui Jawatankuasa Pengangkutan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU) mengadakan audit secara berkala setiap tahun bagi menambah baik fasiliti dan perkhidmatan sedia ada.

Sementara itu, Henry berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kerja Raya dalam proses membangun dan menguatkuasakan sistem baharu penguatkuasaan kenderaan melebihi muatan, iaitu “weigh-in-motion” (WIM).

Beliau menjelaskan menerusi penggunaan sistem WIM, aktiviti penguatkuasaan kenderaan lebih muatan boleh dilaksanakan secara automatik tanpa ia perlu berhenti.

“Aktiviti penguatkuasaan boleh dilaksana 24 jam sehari dan mengurangkan bebanan serta keperluan ke atas jumlah tenaga manusia, iaitu penguat kuasa yang diperlukan di lapangan, seterusnya meningkatkan keberkesanan ke atas aktiviti penguatkuasaan dan pematuhan peraturan jalan raya.”

Pada masa sama, katanya, sistem itu juga boleh mengurangkan implikasi kewangan bagi tujuan penyenggaraan jalan rosak akibat digunakan kenderaan lebih muatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.