Batu Puteh: Terima keputusan ICJ, negara bermaruah mesti hormat janji, kata Dr M

Batu Puteh: Terima keputusan ICJ, negara bermaruah mesti hormat janji, kata Dr M

Bekas Perdana Menteri berkata tiada rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa seperti dipersetujui Malaysia-Singapura berhubung Pulau Batu Puteh.

Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh adalah muktamad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menjelaskan mengapa Pakatan Harapan (PH) tidak mengemukakan semakan kehakiman terhadap Pulau Batu Puteh ketika mengambil alih Putrajaya, kira-kira tiga tahun lalu.

Dalam hantaran di blognya, Mahathir menyatakan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk merujuk tuntutan terhadap pulau berkenaan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tetapi, untuk ini kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad.

“Rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati. Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji,” katanya.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, manakala “South Ledge” diputuskan milik negara di mana wilayah perairannya berada.

Semakan kehakiman itu difailkan pada Februari 2017 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), namun pentadbiran PH menulis kepada ICJ untuk menarik semula permohonan semakan berkenaan pada 28 Mei 2018.

Ramai ahli politik mengkritik Mahathir berhubung keputusan PH menarik semula permohonan semakan itu.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak, berkata Mahathir adalah orang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Dalam pada itu, seorang rakyat tempatan memfailkan saman terhadap kerajaan kerana menarik semula permohonan semakan kehakiman terhadap ICJ.

Mohd Hatta Sanuri mendakwa, Putrajaya tidak mengemukakan penjelasan sehingga hari ini mengapa kerajaan menarik semula permohonan semakan itu walaupun ada bukti baharu yang boleh membantu Malaysia mendapatkan semula pulau berkenaan, yang berkeluasan separuh padang bola sepak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.