Al-Quran dibakar, polis siasat kejadian

Al-Quran dibakar, polis siasat kejadian

Polis turut menasihati orang ramai tidak mensensasikan atau membuat sebarang spekulasi dalam kejadian itu.

Sisa al-Quran itu ditemui di taman tasik oleh seorang wanita ketika bersenam, pagi tadi.
PETALING JAYA:
Polis menyiasat kejadian senaskah al-Quran yang dibakar dan dijumpai di Tasik Taman Sri Impian, Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Low Hang Seng mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang menjumpai senaskah al-Quran yang dibakar dan hanya tinggal cebisan ayat sahaja ketika sedang bersenam di tasik berkenaan, pada 8.48 pagi.

“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan kes ini dari pelbagai sudut dan menasihatkan orang ramai untuk tidak mensensasikan atau membuat sebarang spekulasi, agar tidak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, menurut laporan Bernama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian 07-7784 222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.