
Suspek utama itu dilaporkan ditahan kelmarin di Kuantan susulan operasi khas polis bagi mengesan dalang utama membekalkan dadah ke kawasan berkenaan.
Menurut laporan Harian Metro, suspek ditangkap bersama seorang wanita tempatan yang dipercayai aktif membawa masuk dadah dari negara jiran sejak lebih setahun lalu.
“Siasatan awal polis mengesyaki suspek menggunakan ‘saluran’ atau hubungan rapat dengan pihak berkuasa bagi memudahkan barang haram itu dibawa masuk melalui pintu sempadan negara.
“Biasanya muatan barangan import dari Thailand itu diisytiharkan sebagai pakaian, makanan atau keperluan rumah. Namun terdapat bungkusan dadah dari negara jiran disembunyikan di dalamnya,” sumber dipetik berkata.
Katanya, dadah yang berjaya dibawa masuk ke Malaysia itu kemudian diagihkan kepada pengedar dadah tempatan untuk dijual kepada penagih di kawasan FELDA.
“Setakat ini lebih 4kg heroin berjaya dirampas oleh polis dan usaha mengesan lebih ramai individu terbabit dengan sindiket itu masih diteruskan sehingga kini. Polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek akan diberkas.
“Malah siasatan turut menjurus kepada pembabitan pegawai atau kakitangan agensi keselamatan yang disyaki ada hubung kait dengan suspek yang diberkas itu,” katanya.
Difahamkan, operasi membongkar sindiket itu diteruskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sehingga semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Razarudin Husain mengesahkan pihaknya melakukan operasi besar-besaran bagi membanteras aktiviti pengedaran dadah di kawasan FELDA.
Menurutnya, operasi khas itu bertujuan melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan FELDA di seluruh negara.