Status ‘rakan sekutu’ Sabah, Sarawak akan dikembalikan, kata Ongkili

Status ‘rakan sekutu’ Sabah, Sarawak akan dikembalikan, kata Ongkili

Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 bersetuju dengan cadangan pindaan pada peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara itu.

Mesyuarat MKMA63 yang berlangsung hampir tiga jam di ibu negara semalam dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
KOTA KINABALU:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili berkata, status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Malaysia akan dikembalikan.

Katanya, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju dengan cadangan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan perkara itu dilaksanakan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat MKMA63 yang berlangsung hampir tiga jam di ibu negara semalam, dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Cadangan itu telah dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang turut mengetuai Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu MKMA63.

“Pindaan ini akan mentakrif semula maksud persekutuan,” katanya.

Ongkili berkata, pindaan itu berbeza dengan usul kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, dengan perbezaan utama dalam tambahan pindaan yang diusulkan adalah mentakrifkan semula istilah “persekutuan” dalam Perkara 160(2).

Katanya, MKMA63 bersetuju agar cadangan pindaan rang undang-undang itu dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

“MKMA63 akan terus membincangkan perkara-perkara tertunggak dan memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dipulihkan, terutama melalui jawatankuasa penyelesaian masalah bawah MKMA63,” katanya.

Terdahulu, Ongkili berkata, Wan Junaidi dalam mesyuarat itu menjelaskan pindaan berkenaan akan menentukan status semua negeri di Malaysia sejajar dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, MA63 dan status setelah Singapura keluar pada 1965.

Dalam perkembangan lain, MKMA63 turut bersetuju memberi kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak mengeluarkan lesen menangkap ikan laut dalam.

Wan Junaidi berkata, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee mengemukakan kertas cadangan memohon persetujuan daripada MKMA63 untuk memberi kuasa kepada Jabatan Perikanan di Sabah mengeluarkan lesen kapal dan peralatan untuk tempat penangkapan ikan di Zon C, yang kini dikendalikan oleh jabatan di peringkat persekutuan.

“Pada awalnya cadangan tersebut diajukan oleh kerajaan Sabah, tetapi Majlis (MKMA63) bersetuju agar cadangan itu diperluas ke Sarawak juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.